Friday, September 13, 2024
22.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Saya berjuang demi Sarawak, bukan habuan – Jonah

    KUCHING, 21 OGOS – Atlet kebangsaan Malaysia mewakili tuan rumah, Jonah Chang Rigan tidak selesa apabila soal insentif lebih menjadi buah mulut orang ramai berbanding pencapaian yang dilakarnya pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.

    Atlet berusia 21 tahun itu nyata sukar digugat apabila merangkul pingat emas peribadi keduanya selepas mendominasi acara lempar cakera lelaki di Stadium Sarawak hari ini.

    “Secara jujur ramai orang cakap pasal duit, bukan pencapaian saya. Sebenarnya saya tidak suka, saya berjuang demi Sarawak,” katanya ketika ditemui selepas aksi final itu.

    Meskipun saingan final diduga dengan cuaca sejuk dan hujan, Jonah yang mengungguli acara lontar peluru Isnin lepas, tidak berdepan masalah untuk merekodkan lemparan sejauh 46.16 meter (m) sekali gus menghadiahkan emas ketiga Sarawak dalam olahraga.

    Pingat perak acara itu menjadi milik atlet Negeri Sembilan, Riess William Ling dengan catatan 44.77m manakala Rizad Azri Che Radzi dari Perlis membawa pulang pingat gangsa selepas melakukan lemparan sejauh 41.42m.

    Mengulas mengenai persembahan hari ini, Jonah berpuas hati dengan prestasinya walaupun terpaksa menangani cabaran hujan dan permukaan platform lemparan yang licin.

    “Prestasi hari ini sangat baik walaupun cuaca tidak bagus, tapi semangat berjuang untuk Sarawak itu tetap ada. Saya tak kisah pasal licin, saya cuma berikan yang terbaik, saya berterima kasih kepada semua pihak yang membantu dalam proses pemulihan kecederaan bahu saya.

    “Sekarang keadaan bahu saya lebih baik, tempoh hari (Isnin lepas) sangat sakit, tapi sekarang boleh lempar kuat sikit,” katanya yang akan turun beraksi dalam final baling tukul besi yang merupakan acara ketiga disertainya pada temasya kebangsaan dwitahunan itu. – Bernama

    Aksi Jonah semasa temasya SUKMA 2024 di Stadium Sarawak pada 21 Ogos. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda