Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    SBYLEP ke-9 labuh tirai

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JUN – Program Pertukaran Pemimpin Belia Singapura-Brunei (SBYLEP) ke-9 telah melabuhkan tirainya dengan majlis penutup yang berlangsung di Republik Singapura, kelmarin.

    Program yang dikendalikan bersama oleh Majlis Belia Kebangsaan (NYC) di bawah Kementerian Kebudayaan, Komuniti dan Belia, Republik Singapura dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Negara Brunei Darussalam serta diselaraskan oleh Majlis Belia Brunei (MBB) selaku rakan strategik itu telah berlangsung selama lima hari dengan disertai oleh seramai 30 orang pemimpin belia berusia antara 22 hingga 35 tahun dari kedua-dua buah negara.

    Para peserta adalah daripada pelbagai latar belakang profesional berkaitan hal ehwal belia dalam bidang pendidikan, kepimpinan, keusahawanan, pembangunan komuniti dan belia, sains dan kesihatan serta kesukarelawanan.

    Program berkenaan diadakan secara bergilir-gilir berdasarkan hubungan dua hala yang kukuh antara kedua-dua buah negara.

    SBYLEP edisi ke-9 merupakan kali pertama diadakan secara fizikal di Republik Singapura sejak 2019 selepas pemulihan pandemik COVID-19.

    Gambar ramai para peserta program berkenaan. – GAMBAR SERAHAN KKBS

    Tema program kali ini ialah Kesukarelawanan yang bertujuan untuk meneroka bagaimana belia boleh mengambil bahagian dalam aktiviti kesukarelawanan dengan cara yang lebih mampan, berkesan dan kolaboratif dengan pelbagai pihak berkepentingan selain untuk memastikan ianya berkesan dan inklusif dalam memacu kemajuan dalam kalangan masyarakat.

    Dalam majlis penutup berkenaan, para peserta turut mengongsikan pengalaman yang mereka pelajari antaranya mengenai hal ehwal kesukarelawanan yang bukan sahaja memberi perkhidmatan bantuan bahkan memahami keperluan golongan yang dibantu.

    Para peserta turut berpeluang membuat kerja-kerja kesukarelawanan di MINDS Empowering lives of persons with intellectual disability, Bird Paradise Mandai Wildlives Reserve, serta membuat lawatan dan aktiviti simulasi di Youth Corps Singapore.

    Beberapa sesi dialog turut diadakan yang membincangkan bagaimana untuk menjadi sukarelawan belia yang lebih mampan dalam memberikan perkhidmatan yang berkualiti kepada masyarakat.

    Turut hadir ialah Menteri Negara bagi Kementerian Perhubungan dan Penerangan dan Kementerian Kesihatan, Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Rahayu Mahzam; Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Republik Singapura, Haji Ahmad Nasri bin Dato Dr Haji Abdul Latif; dan Setiausaha Tetap (Kebeliaan) di KKBS, Haji Zakaria bin Haji Serudin.

    Haji Zakaria dan beberapa pegawai kanan KKBS juga membuat lawatan kerja ke Outward Bound Singapura, Pulau Ubin, The Red Box, NYC, Bird Paradise Mandai Wildlives Reserve sebelum menghadiri majlis penutup program tersebut.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda