Friday, September 13, 2024
22.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sinner takluk Terbuka Cincinnati

    CINCINNATI, 21 OGOS – Jannik Sinner baru-baru ini menjulang trofi ATP Masters ketiganya apabila pemain nombor satu dunia itu menewaskan Frances Tiafoe 7-6 (7/4), 6-2 untuk memenangi Terbuka Cincinnati.

    Pemain pilihan utama Itali itu menunggu waktunya pada set pertama sebelum menguasai perlawanan pada set kedua.

    Tiafoe, yang permainannya merosot selepas tewas dalam tiebreak pada set pertama, masih memberikan kesan.

    Pemain Amerika itu, yang kini berada dalam kelompok 20 terbaik dalam kedudukan, menyelamatkan tiga mata perlawanan sebelum Sinner merangkul gelaran ke-15 dalam kerjayanya.

    Cincinnati merupakan trofi kelima untuk pemain Itali berusia 23 tahun itu pada tahun 2024, yang memulakan musim ini dengan gelaran Terbuka Australia.

    Sinner bergambar bersama piala yang dimenanginya di Terbuka Cincinnati pada 19 Ogos. – AFP

    “Saya gembira, minggu ini sangat sukar,” kata pemenang itu. “Ia mencabar dari segi mental tetapi saya cuba melakukan yang terbaik.

    “Frances dan saya sama-sama keletihan selepas perlawanan separuh akhir pada Ahad dan terdapat banyak ketegangan.

    “Saya gembira kerana saya dapat mengekalkan tahap permainan saya pada saat-saat penting. Saya mengendalikan situasi di gelanggang dengan baik.

    “Terdapat banyak pasang surut, tetapi itu adalah perkara biasa. Pada detik-detik besar setiap perlawanan, saya bermain dengan baik.”

    Sinner akan menuju ke permulaan Terbuka Amerika Syarikat (AS) pada 26 Ogos sebagai pilihan utama, dengan kelebihan lebih daripada 2,000 mata di hadapan pemain nombor dua dunia, Novak Djokovic.

    Ketika menentang Tiafoe, Sinner meraih 29 pukulan pemenang, termasuk 13 ace dan mematahkan servis pemain Amerika itu dua kali daripada lapan percubaan.

    “Saya sangat penat,” kata Tiafoe kepada Sinner di jaring selepas perlawanan.

    “Saya tidak biasa bermain terlalu banyak perlawanan seperti pemain-pemain besar seperti awda. Permainan yang baik,” jelasnya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda