Thursday, May 2, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    SMSIS lancar logo ulang tahun ke-25

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JAN – Sekolah Antarabangsa Seri Mulia Sarjana (SMSIS) telah melancarkan logo ulang tahun penubuhannya yang ke-25 tahun sekali gus memulakan sambutan sepanjang tahun ini, pada majlis yang berlangsung di sekolah berkenaan, malam tadi.

    Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif SMSIS, Dr Mary Lim dalam ucapannya pada majlis itu antara lain menjelaskan bahawa setiap tahun adalah tempoh transformatif di SMSIS.

    Dalam tempoh itu, mereka memastikan pendidikan diperkukuh lagi dan seterusnya mengembangkan komuniti mereka dengan mengalu-alukan ahli baharu, dan membawa ke hadapan inisiatif berkaitan yang akan membantu menjamin kejayaan berterusan pada masa hadapan.

    Beliau seterusnya berkongsi bahawa tahun lepas menyaksikan kemajuan yang menggalakkan ke arah pencapaian misi mereka melalui inisiatif pendidikan walaupun menghadapi cabaran.

    Antara kemajuan yang dicapai termasuklah dalam Sistem Pengurusan Pembelajaran (LMS), Bring Your Own Device (BYOD), Device on Demand (DOD), Dugga Digital Assessment Platform, Realiti Maya (VR), Realiti Imbuhan (AR), serta Beebot dan Microbit untuk menyokong pengajaran dan pembelajaran.

    Gambar ramai semasa majlis pelancaran logo yang berlangsung di sekolah SMSIS.
    Dr Mary Lim semasa melawat pameran sempena sambutan ulang tahun jubli perak sekolah tersebut.

    Ia jelas memberikan kebanggaan kepadanya untuk melihat betapa pantas SMSIS menyesuaikan diri dengan setiap cabaran baharu dan cara pelajar, guru dan kakitangan dari pelbagai budaya bekerjasama antara satu sama lain untuk memanfaatkan setiap peluang sepenuhnya, tambah beliau.

    Hadir pada pelancaran itu ialah Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam, Jo Kelly; Pegawai Zon dari Jabatan Pendidikan Swasta, Kementerian Pendidikan, Dayangku Norashikin binti Pengiran Haji Kamarrudin; Ketua Pegawai Operasi, Leonard Lim; serta Pengasas Bersama dan Pengarah Kreatif Bajoo Fashion House, Jacqueline Cheong.

    Sementara itu, Pengetua SMSIS, Chong Wee Meng dalam ucapan alu-aluannya pula menyatakan bahawa sebagai pendidik, motivasi dan semangat mereka kekal kukuh justeru mereka akan terus berpegang kepada panduan sekolah bagi menyediakan pendidikan antarabangsa yang berkualiti.

    Menurutnya, 25 tahun yang cemerlang merupakan satu perjalanan yang luar biasa dan beliau berasa amat berbesar hati untuk bersama SMSIS dalam mencapai kejayaan yang begitu hebat yang mana satu bidang yang patut dipuji di SMSIS ialah budaya kerja positif.

    Selepas pelancaran itu, tetamu kehormat dan tetamu lain telah dijemput untuk melawat pameran sempena sambutan ulang tahun jubli perak sekolah tersebut.

    SMSIS bermula pada 1998 dengan 134 orang pelajar dan 12 guru dan jumlah tersebut semakin berkembang sejak dua dekad yang lalu dan mengukuhkan kedudukannya sebagai sekolah antarabangsa yang menawarkan pendidikan berkualiti tinggi kepada pelajar pelbagai budaya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Parlimen Korea S luluskan siasatan baharu insiden kematian Marin

    SEOUL, 2 MEI - Parlimen Korea Selatan hari ini meluluskan rang undang-undang untuk mengadakan siasatan baharu ke atas kematian orang ramai semasa Halloween 2022...