Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Subang karakter cendawan comel dari tanah liat

    Oleh Amri HTZ –

    Barangan perhiasan dianggap sebagai pelengkap dan penyeri kepada si pemakainya terutamanya bagi kaum hawa.

    Sudah menjadi fitrah buat diri para wanita untuk bercantik-cantik dan sentiasa kelihatan menawan dan ini memerlukan pelbagai koleksi perhiasan dalam simpanan mereka.

    Bagi menambah koleksi barangan perhiasan untuk kelihatan lebih indah, projek kali ini membawakan langkah pembuatan subang berupa karakter daripada kisah dongeng dengan hanya menggunakan tanah liat jenis polimer.

    Persediaan awal penting

    Tanah liat polimer
    Jarum
    Alat mengukir
    Wayar perak
    Berus cat
    Cat akrilik
    Kertas parchment
    Ketuhar

    PILIH BENTUK DIINGINKAN

    Dalam memudahkan langkah pembuatan, sebuah gambar dengan bentuk cendawan yang diinginkan diperlukan sebagai panduan dan rujukan ketika proses membentuk tanah liat.

    Awda boleh memilih pelbagai bentuk dan warna cendawan yang ingin direka mengikut keutamaan. Bagi projek ini, cendawan jenis Amanita muscaria dipilih. (Gambar 2)

    Gambar 1. – Gambar oleh Prof Genki
    Gambar 2. – Gambar oleh Prof Genki
    Gambar 3. – Gambar oleh Prof Genki
    Gambar 4. – Gambar oleh Prof Genki
    Gambar 5. – Gambar oleh Prof Genki
    Gambar 6. – Gambar oleh Prof Genki
    Gambar 7. – Gambar oleh Prof Genki
    Gambar 8. – Gambar oleh Prof Genki
    Gambar 9. – Gambar oleh Prof Genki
    Gambar 10. – Gambar oleh Prof Genki
    Gambar 11. – Gambar oleh Prof Genki
    Gambar 12. – Gambar oleh Prof Genki

    Rekaan cendawan ini akan terbahagi kepada tiga bahagian iaitu topi, insang dan batang cendawan.

    Untuk langkah pertama pembuatan, akan memfokuskan kepada pembuatan batang cendawan. Tanah liat polimer berwarna translucent white pada mulanya dibentuk menjadi bujur hanya dengan cara menggulungnya di antara dua jari. Dua bahagian diperlukan untuk menjadikan ia sepasang. (Gambar 3)

    Setelah itu menggunakan pisau utiliti, belah tanah liat pada salah satu bahagian hujung untuk menjadikannya bahagian kaki. Langkah ini adalah bagi mereka karakter cendawan comel seperti yang boleh dilihat dalam sebuah cerita dongeng pari-pari. Ini diikuti dengan membentuk potongan menjadi kaki menggunakan alat pengukir yang mempunyai bahagian hujung yang membulat (seperti pensel). (Gambar 4)

    Untuk bahagian tangan, menggunakan tanah liat polimer berwarna sama, gulung dua bahagian untuk setiap satu batang cendawan. Membentuknya cukup mudah dengan hanya menggulungnya dengan bantuan permukaan meja dan hujung jari awda. Setelah itu cantumkannya pada bahagian atas batang cendawan dengan menekan dan meratakannya menggunakan alat pengukir dengan bahagian hujung yang merata. (Gambar 5)

    TOPI CENDAWAN LENGKAPKAN REKAAN

    Sementara bagi bahagian topi cendawan, tanah liat polimer dengan warna candy red dipilih. Gulung sedikit tanah liat menjadi bulat. Kemudian leperkannya sedikit dengan cara menekankan pada permukaan meja. Pastikan ukuran bahagian topi sepadan dengan ukuran batang cendawan, jika dirasakan terlalu besar atau kecil, awda boleh menambahkan atau mengurangkan jumlah tanah liat yang digunakan. (Gambar 6)

    Setelah meleperkan tanah liat, bahagian atasnya pula akan dibentuk seperti kon dengan hanya menekan sekelilingnya menggunakan jari. Ini diikuti dengan langkah mereka insang cendawan menggunakan tanah liat berwarna putih. (Gambar 7)

    Bagi mencantumkan insang cendawan pada bahagian bawah topi, awda perlu menekan perlahan kedua-dua tanah liat bagi memastikan bentuknya tidak terlalu berubah disebabkan tekanan. Ini diikuti dengan membentuk permukaan insang menggunakan alat pengukir. Mulakan daripada bahagian tengah keluar dengan mereka garisan halus meniru bentuk sebenar insang cendawan. (Gambar 8)

    Apabila kesemua bahagian telah dibentuk, kini hanya tinggal awda mencantumkan bahagian topi cendawan dengan batangnya. Gunakan alat pengukir untuk meratakan bahagian cantuman dari bahagian bawah topi agar ia tercantum kukuh. (Gambar 9)

    Sebelum membolehkan tanah liat polimer untuk dibakar bagi menjadikannya keras, pada bahagian atas topi akan dipasangkan dengan pin untuk membolehkannya digantungkan.

    Langkah ini memerlukan awda mencucuk bahagian atas topi cendawan menggunakan jarum diikuti dengan memasukkan eye pin ke dalamnya. Gunakan eye pin yang terbuat dari perak bagi mengelakkannya berkarat. (Gambar 10)

    BAKAR GUNA KETUHAR BAGI MENGERASKANNYA

    Dalam memastikan rekaan dapat mengekalkan bentuknya, tanah liat perlu dibakar menggunakan ketuhar selama 30 minit. Tetapkan suhu pada 100 darjah Celsius dan
    letakkan rekaan pada kertas parchment bagi memastikannya tidak melekat pada permukaan dulang ketuhar. Biarkan rekaan sejuk sebelum meneruskan proses mengecat permukaan atas topi dengan bintik-bintik putih. (Gambar 11)

    Sebagai langkah terakhir, awda memerlukan sepasang cangkuk perak untuk menyempurnakan subang rekaan. Cangkuk tersebut kemudiannya akan dimasukkan pada jump ring perak berukuran 3mm dengan membukanya menggunakan playar. (Gambar 12)

    Dengan langah tersebut, subang comel yang direka melalui beberapa langkah mudah kini boleh digunakan untuk menghiasi diri mahupun sebagai koleksi.

    Tip rekaan

    Untuk mereka cangkuk subang sendiri, awda perlu ball making plier dan round nose plier bagi mendapatkan bentuk U pada cangkuk termasuk bahagian hujung yang membulat.

    Pada bahagian hujung cangkuk, awda perlu membuangkan permukaan tajam menggunakan kikir jenis diamond.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda