Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sukan taekwondo kukuhkan hubungan Brunei-Korea

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OGOS – Lebih 180 peserta terdiri daripada beberapa buah pasukan dari Brunei, Indonesia dan Malaysia menyertai Kejohanan Taekwondo Brunei Darussalam Piala Duta Korea kali ke-4 bagi tahun ini.

    Kejohanan anjuran Persatuan Taekwondo Brunei Darussalam dengan kerjasama Kedutaan Republik Korea itu akan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga 7 Ogos di Pusat Belia, Bandar Seri Begawan.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya merasmikan kejohanan tersebut ialah Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Haji Mohamad Rosfazilah bin Haji Yusly.

    Turut hadir ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Korea ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Kim Soung-eun, yang seterusnya menyampaikan ucapan alu-aluannya.

    Dalam ucapannya, Kejohanan Taekwondo Piala Duta Besar Korea ke-4, tahun ini juga bersempena dengan menyambut ulang tahun diplomatik ke-40 tahun antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Korea.

    Gambar ramai Pasukan Demonstrasi Taekwondo Kukkiwon bersama tetamu kehormat. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Antara aksi yang dipersembahkan oleh Pasukan Demonstrasi Taekwondo Kukkiwon. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Orang ramai yang hadir semasa acara tersebut. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    TYT Kim Soung-eun menekankan bahawa taekwondo bukan hanya sekadar sukan, ia adalah cara hidup. Ia menanamkan nilai-nilai disiplin, hormat, dan semangat yang diperlukan untuk mengatasi cabaran. Kejohanan ini melambangkan persahabatan yang telah terjalin selama empat dekad antara kedua-dua negara, serta memupuk hubungan dan pemahaman bersama melalui sukan taekwondo.

    “Ketika memperingati 40 tahun hubungan diplomatik antara Korea dan Brunei, kejohanan ini berfungsi sebagai bukti ikatan budaya dan sukan yang kukuh yang telah kita bina. Saya yakin bahawa kerjasama sukan melalui taekwondo memupuk hubungan yang lebih kuat antara kedua-dua buah negara kita dan mempromosikan pemahaman bersama. Oleh itu, saya dengan ikhlas berharap agar taekwondo terus berkembang dengan lebih meluas dan menjadi sebahagian yang lebih integral daripada landskap sukan di Brunei,” tambah TYT Kim Soung-eun.

    Kehadiran Pasukan Demonstrasi Taekwondo Kukkiwon menambah keistimewaan acara ini dengan mempamerkan kemahiran tertinggi dalam seni taekwondo. Persembahan ini memberi inspirasi kepada atlet muda dan mempromosikan semangat taekwondo di Brunei.

    Majlis dimulakan dengan pelancaran yang disempurnakan oleh Duta Besar Republik Korea dengan demonstrasi memecah papan dan kemudian acara demonstrasi taekwondo iaitu Poomsae, Kyorugi, Taerobic dan Hanmadang dan acara diteruskan dengan sesi suai kenal bersama peserta-peserta kejohanan diikuti sesi bergambar ramai dan disemarakkan lagi dengan persembahan K-pop daripada Expression Music.

    Kejohanan tersebut juga dianjurkan sempena Festival Korea 2024 anjuran Kedutaan Republik Korea yang bermula pada 3 Ogos lalu.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda