Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tahap pencemaran di pantai Tasik Geneva membimbangkan

    GENEVA, 21 OGOS – Tahap pencemaran di pantai-pantai Tasik Geneva adalah membimbangkan, sebahagiannya disebabkan oleh paras gentian mikroplastik yang tinggi, kata sebuah badan pemantau Perancis-Swiss kelmarin.

    Penyelidik mendapati ketumpatan zarah mikroplastik kecil yang membimbangkan dengan saiz antara 0.3mm hingga 5mm panjang – 7,600 zarah per meter persegi, menurut kajian itu.

    Penyelidikan berkenaan telah diluluskan oleh Suruhanjaya Antarabangsa untuk Perlindungan Perairan Tasik Geneva (Cipel) dan dijalankan oleh Persatuan Perancis-Swiss untuk Perlindungan Tasik Geneva (ASL) pada 2021 dan 2022.

    Pakar mengambil sampel dari 25 pantai Perancis dan Switzerland di tasik terbesar di Eropah Barat, yang merentasi Perancis dan Switzerland.

    Ujian menunjukkan bahawa kira-kira 60 peratus daripada zarah tersebut adalah gentian plastik sintetik kecil yang telah meresap ke dalam air selepas mencuci pakaian atau akibat haus dan lusuh.

    Baki 40 peratus lagi berasal daripada pemecahan mikroplastik yang boleh dilihat dengan mata kasar dan dilaporkan oleh 100 sukarelawan.

    Kebanyakan zarah yang dikesan adalah lebih kecil daripada 2.5mm. Pembungkusan makanan, puntung rokok dan butiran plastik industri merupakan sumber sisa yang paling kerap dikenal pasti. – AFP

    Penyelidikan itu telah dijalankan oleh ASL pada 2021 dan 2022. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda