Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Taktik licik sindiket dadah terbongkar

    KUALA LUMPUR, 22 MAC – Taktik licik satu sindiket pengedaran dadah menjadikan sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Dagang, Ampang di sini, yang diubah suai menjadi taska sebagai stor simpanan bekalan dadah terbongkar, selepas polis menahan seorang lelaki di Cheras di sini, Selasa lepas.

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid, berkata lelaki berusia 38 tahun itu dipercayai berperanan sebagai pengedar kepada pelanggan dengan upah RM20,000 berdasarkan penghantaran yang dibuat.

    “Sindiket ini menjalankan kegiatan mereka dengan menjadikan premis yang diubah suai sebagai pusat penjagaan kanak-kanak atau taska dengan lukisan kartun sebagai stor simpanan bekalan dadah untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

    “Siasatan awal mendapati sindiket telah menyewa premis terbabit sejak lima bulan lepas pada kadar RM3,000 sebulan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

    Beliau berkata, hasil pemeriksaan di premis itu pada hari sama, pihaknya merampas 213 kilogram (kg) dadah jenis syabu, 90kg pil eramin lima dan tiga kg heroin base bernilai RM10.8 juta. 

    Bekalan dadah itu, katanya dipercayai diperoleh dari negara jiran untuk diedarkan bagi pasaran tempatan sekitar Lembah Klang. – Bernama

    Allaudeen semasa sidang media pada 22 Mac berhubung rampasan pelbagai jenis dadah bernilai RM10.8 juta dalam dua serbuan sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, Selasa lepas. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda