Friday, November 1, 2024
30 C
Brunei

    Berita Terkini

    TAP lancar Acara Lakastah Bersedia

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OKT – Dengan membawa tema, Bijak Merancang, Bahagia Bersara, Tabung Amanah Pekerja (TAP) mengadakan Acara Lakastah Bersedia yang berlangsung selama dua hari di The Mall, Gadong bermula hari ini hingga 1 November.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis pelancaran berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah selaku Pengerusi Lembaga TAP.

    Acara Lakastah Bersedia merupakan program perancangan persaraan inisiatif TAP yang berterusan dan komprehensif dalam mempersiapkan peserta dengan lebih awal sebelum melangkah ke alam persaraan.

    Program itu disasarkan kepada ahli-ahli TAP yang akan bersara dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang. Program yang sama sebelumnya telah diadakan di beberapa kementerian dan tahun ini, ia diadakan secara terbuka bagi menekankan lagi kepentingan perancangan awal persaraan daripada segi kewangan serta aspek lain kepada orang ramai khususnya ahli-ahli TAP.

    Pada majlis berkenaan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew telah menyempurnakan pelancaran program TAPCERT iaitu sebuah Program Pensijilan Perancangan Persaraan, yang akan ditawarkan kepada pengamal perancang kewangan di negara ini.

    Ceramah forum disampaikan oleh Penyelidik CSPS, Dr Kartini binti Rahman. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Antara yang hadir pada majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Itu adalah bagi menaiktarafkan lagi pembarigaan maklumat berkaitan perancangan persaraan, di mana pengamal perancang persaraan yang diiktiraf oleh TAP akan dapat memberikan maklumat yang tepat terutama mengenai Skim Persaraan Kebangsaan (SPK) serta panduan membuat perancangan persaraan dalam konteks SPK.

    Acara Lakastah Bersedia mengandungi beberapa aktiviti yang merangkumi aspek ilmiah dan praktikal dalam memastikan persiapan awal dilakukan supaya individu dapat menghadapi perubahan itu dengan keyakinan dan persediaan yang mencukupi sebelum melangkah ke fasa persaraan.

    Aktiviti yang diadakan semasa hari pertama adalah berkonsepkan forum perbincangan yang telah diaturkan bersama panel jemputan daripada pelbagai institusi yang diiktiraf di negara ini. Forum itu bertujuan untuk membincangkan isu-isu berkaitan dengan persaraan di Brunei Darussalam, merangkumi fasa persiapan sebelum persaraan serta setelah memasuki fasa persaraan itu sendiri.

    Dengan pelbagai perspektif yang dikongsi semasa sesi berkenaan, ia dihasratkan untuk menjadikan sesi yang informatif dan bermanfaat kepada peserta yang hadir.

    Selain itu, beberapa sesi taklimat turut diadakan bagi menerangkan mengenai beberapa topik yang berkaitan seperti kepentingan perancangan persaraan, perkongsian tip pengurusan kewangan, pengurusan harta, tatacara mengenal pasti dan menghindari skim cepat kaya, perhubungan kekeluargaan dan beberapa topik lain yang selaras dengan objektif acara ini.

    Penceramah-penceramah yang telah dijemput bagi menyampaikan kepentingan aspek berkenaan terdiri daripada wakil Pusat Kajian Strategik dan Dasar (CSPS), Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (LKEB), Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), Jabatan Hal Ehwal Syariah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Persatuan Bank-Bank Brunei (BAB), Persatuan Insurans dan Takaful Brunei (BITA) serta Pertubuhan WARGAMAS (PW).

    Acara turut diserikan dengan pameran yang membolehkan pengunjung acara untuk mendapatkan maklumat-maklumat dan produk berkaitan dengan perancangan kewangan dan persaraan melalui institusi yang dijemput iaitu Baiduri Bank Berhad, Bank Standard Chartered (SCB), Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), Insuran TAIB, Takaful Brunei, AIA Brunei, LKEB, BDCB dan PW.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda