Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tiada lagi kawasan baharu tanaman sawit dalam hutan

    SANDAKAN, 18 OGOS – Malaysia memberi komitmen tiada lagi kawasan baharu penanaman sawit di kawasan hutan bagi memastikan agenda kemapanan termasuk mengekalkan 50 peratus litupan hutan negara yang kini berada di tahap 54 peratus.

    Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menegaskan kawasan hutan yang ‘dinyahkan’ kemudian ditanam semula dengan sawit, buah sawit itu tidak boleh dihantar ke mana-mana kilang.

    “Sekiranya kilang mengambil buah ini maka kilang itu juga tidak dibenarkan untuk eksport mana-mana produk atau menjual produk berkenaan, saya fikir kita sudah cukup (kawasan) kelapa sawit.

    “Kita masih ada 54 peratus liputan hutan, kita mahu mengekalkannya kerana kita mahu memperhebatkan pembangunan biodiversiti. Kita mahu pastikan satu daripada haiwan yang sangat perlu dilindungi ialah Orang Utan,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Orang Utan Sedunia 2024 hari ini.

    Beliau berkata perkara itu juga dimaklumkan kepada para pemain industri kelapa sawit menerusi pelbagai keterlibatan yang dilaksanakan sebelum ini.

    “Saya sudah menjelaskan kepada mereka yang Malaysia komited minyak sawit yang dieksport melalui proses yang mampan dengan cara ini saja kita boleh meyakinkan dunia di samping kita mengeksport tanaman, kita juga akan memastikan sudah tiada lagi penebangan hutan baharu dalam negara kita,” katanya.

    Dalam pada itu, Johari berkata di Sabah sahaja terdapat 1.5 juta hektar tanah kelapa sawit, namun dalam landskap pasaran minyak masak dunia yang begitu sengit, sering kali industri sawit berdepan tuduhan tidak berasas oleh pesaing dan pihak-pihak tertentu di Barat, antaranya propaganda negatif bahawa industri sawit Malaysia tidak bersifat mampan dan mesra alam. – Bernama

    Datuk Seri Johari Abdul Ghani ketika melakukan reruai pada Program Turun Padang Budi Agro-Komoditi di Dewan Serbaguna Agropolitan, Rantau Manis pada 15 Ogos. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda