Friday, September 13, 2024
22.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tragedi Sungai Kayan: Mayat mangsa kedua ditemui

    KUCHING, 21 OGOS – Mayat mangsa kedua yang dilaporkan hilang dalam tragedi bot karam di Sungai Kayan, Lundu, kira-kira 72 km dari sini ditemukan pukul 5:30 petang tadi.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata mayat Helena Fasha Petrus, 17, dijumpai terapung lebih kurang satu kilometer dari Pos Kawalan Bomba dan Penyelamat di Kampung Selampit, berdekatan sungai itu.

    Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) kini beralih ke arah mencari Alasma Jithil, 14, mangsa ketiga yang masih hilang.

    Pagi tadi, mayat mangsa pertama, Vilkie Wilson, 15, ditemukan terapung kira-kira 10 meter dari Pos Kawalan Bomba dan Penyelamat pada pukul 11:58 pagi.

    Semalam, dalam kejadian 6:10 pagi, sebuah bot yang dinaiki 20 orang telah karam di Sungai Kayan dengan 17 mangsa berjaya menyelamatkan diri, manakala tiga lagi mangsa dilaporkan hilang.

    Dalam pada itu, ibu kepada salah seorang mangsa insiden itu berharap anaknya, Alasma Jithil, 14, dapat ditemui.

    Mutiar Nyodieng, 50, berharap pasukan SAR dapat menemukan jasad anaknya itu, walau apa pun keadaannya.

    “Saya berharap pihak polis, bomba dapat mencari anak saya, walaupun saya tahu memang tidak ada harapan hidup, yang penting saya tengok jasad,” katanya ketika ditemui pemberita di pusat operasi SAR insiden itu. – Bernama

    Gambar ANN/The Star
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda