Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Universiti Howard putus hubungan dengan Diddy

    Universiti Howard telah memutuskan hubungan dengan Sean ‘Diddy’ Combs, yang turut membatalkan ijazah kehormat yang dianugerahkan kepadanya dan membubarkan program biasiswa atas namanya, selepas video yang dikeluarkan baru-baru ini yang menunjukkan dia menyerang penyanyi R&B, Cassie pada 2016.

    “Tingkah laku Combs seperti yang dirakam dalam video yang dikeluarkan baru-baru ini secara asasnya tidak selari dengan nilai teras dan kepercayaan Universiti Howard sehingga dia dianggap tidak lagi layak untuk memegang penghormatan tertinggi institusi ini,” kata satu kenyataan daripada Lembaga Pemegang Amanah universiti tersebut.

    Kenyataan itu berkata lembaga telah sebulat suara mengundi pada Jumaat untuk menerima pemulangan ijazah kehormat Diddy yang diterima olehnya pada 2014.

    “Penerimaan ini membatalkan semua penghormatan dan hak istimewa yang berkaitan dengan ijazah tersebut. Sehubungan itu, lembaga telah mengarahkan agar namanya dikeluarkan daripada semua dokumen yang menyenaraikan penerima ijazah kehormat Universiti Howard,” katanya.

    Lembaga itu juga mengarahkan pentadbir universiti untuk memutuskan hubungan kewangan dengan Diddy, termasuk memulangkan sumbangan AS$1 juta, menamatkan program biasiswa dan membubarkan perjanjian ikrar 2023 dengan Yayasan Sean Combs.

    Satu e-mel meminta komen telah dihantar kepada jurucakap Diddy oleh The Associated Press pada Sabtu. – AP

    Diddy bergambar di sebelah ijazah kehormat Doktor Kemanusiaan semasa majlis graduasi di Universiti Howard di Washington pada 10 Mei 2014. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda