Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Zii Jia sedia hadapi Olimpik

    KUALA LUMPUR, 23 JULAI – Pemain perseorangan profesional Malaysia, Lee Zii Jia, bersedia membawa semua tenaga dan aura positif ke pentas Sukan Olimpik 2024 Paris yang membuka tirainya secara rasmi, Sabtu ini.

    Pemain ranking ketujuh dunia itu yang membuat penampilan kedua di Olimpik berkata beliau kini sudah kembali menemui keseronokan bertanding di dalam sukan itu selepas menyatakan hasrat ‘berehat’ seketika November lepas.

    “Cinta saya kepada badminton kembali dan ia satu perkara yang baik. Kami tiada banyak masa sebelum Olimpik jadi saya harap dapat membawa kesemua tenaga, aura (baik) ini serta perkara-perkara positif.

    “Saya sentiasa mencuba sesuatu yang baharu yang belum dicuba orang. Saya hanya cuba untuk menenangkan diri sendiri dan lebih menikmati permainan terutama di Olimpik,” katanya dalam satu temu bual dikongsikan laman Facebook rasmi Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

    Zii Jia akan turun ke gelanggang di Porte de La Chapelle Arena (Adidas Arena), Paris pada 27 Julai bagi aksi peringkat Kumpulan G.

    Atlet berusia 26 tahun itu mendapat laluan mudah untuk melepasi peringkat kumpulan setelah diundi bersama pemain ranking ke-72 dunia dari Sri Lanka, Viren Nettansinghe dan pemain nombor 63 dunia dari Sepanyol, Pablo Abian.

    Sekiranya mengungguli peringkat kumpulan, Zii Jia berkemungkinan membuat perhitungan awal dengan pemain Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting (kesembilan dunia) dalam pusingan 16 terbaik untuk memburu tempat di suku akhir.

    Atlet kelahiran Kedah itu sebelum ini menetapkan sasaran untuk membawa pulang emas dari Paris. – Bernama

    Zii Jia bergambar sebelum bertolak ke Sukan Olimpik Paris 2024 di KLIA pada 21 Julai. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda