Monday, September 16, 2024
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    13 usahawan alumni UNISSA pamer produk, perkhidmatan

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OGOS – Seramai 13 usahawan alumni Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka dalam Pameran Keusahawanan bersempena dengan Mahrajan Hafl Al-Takharruj (MHT) ke-14 UNISSA yang berlangsung di Kampus Gadong, UNISSA, kelmarin.

    Pameran berkenaan diadakan sebagai satu pengiktirafan kepada golongan alumni UNISSA yang telah berjaya membina dan membangunkan perusahaan dan perniagaan mereka selain salah satu cara bagi menghargai pencapaian dan sumbangan mereka kepada pembangunan negara khususnya dalam melonjakkan aktiviti pertumbuhan ekonomi yang pelbagai.

    Produk dan perkhidmatan yang dipamerkan termasuk Hygraglow Cosmetics, Nyampatea, Kaffein Bar, Mahyra.co, Kenang, Datesforyou, Dara, Muharib, SM & The Capital, Pacer, Onze, Dara, Ar-Razaq Kifayah Management dan Skyvision.

    Pelbagai produk dan perkhidmatan dipamerkan, daripada makanan dan minuman, alat solek dan aksesori serta perkhidmatan-perkhidmatan seperti pengurusan jenazah hinggalah gajet terkini yang menggunakan sistem teknologi tinggi yang canggih.

    Pameran itu juga dihasratkan untuk mempromosikan inspirasi, pembangunan rangkaian profesional dan memperkukuh hubungan UNISSA dengan alumninya.

    Dalam pada itu, MHT kali ini juga turut menghimpun 37 peniaga dan usahawan menerusi Bazar MHT iaitu sebuah platform keusahawanan yang diadakan secara tradisi bagi memeriahkan acara menjelang konvokesyen UNISSA. Bazar berkenaan diadakan di Gimnasium UNISSA selama empat hari bermula 19 Ogos sehingga kelmarin.

    Bagi UNISSA pula, ini adalah ruang untuk menyatukan warga kampus dalam satu perayaan bermakna dan mendekati komuniti serta membina jalinan lebih akrab dengan masyarakat setempat, di samping membantu para peniaga melebarkan dan memperluaskan lagi bisnes dan rangkaian sosial melalui interaksi bersemuka bersama para pengunjung.

    ATAS & BAWAH : Antara alumni UNISSA yang menyertai pameran berkenaan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda