Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    32 pelajar UNISSA jalani khidmat masyarakat di Selangor

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JULAI – Seramai 32 orang terdiri daripada pelajar-pelajar Kumpulan Al-Qudwah, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) bersama dua pegawai pengiring dari Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) telah berangkat ke Selangor, Malaysia bagi mengadakan program khidmat masyarakat UNISSA International Outreach: Peduli Ummah anjuran PPIB dengan kerjasama Kumpulan Al-Qudwah, UNISSA, baru-baru ini.

    Program khidmat masyarakat itu diadakan bagi membuka ruang untuk membantu masyarakat Islam di Malaysia serta memupuk sifat prihatin dan empati dalam diri mahasiswa.

    Dalam usaha menjayakan program tersebut, Kumpulan Al-Qudwah telah melaksanakan pengumpulan dana melalui penerimaan sumbangan secara dalam talian, tabung-tabung yang diletakkan di kawasan UNISSA dan jualan inisiatif selama tempoh 19 Jun hingga 3 Julai lalu yang telah mengutip sumbangan sebanyak $9,070.50.

    Sumbangan telah diagihkan kepada Mahad Tahfiz Al-Quran Najihah, Pusat Penjagaan Rumah Orang Tua Mahmudah Semenyih, Pusat Pembelajaran Rohingnya melalui Persatuan Mycare dan juga Yayasan Chow Kit.

    Pelbagai aktiviti telah dijalankan di samping menyerahkan duit sumbangan, bagi melatih pelajar untuk bekerjasama dalam satu kumpulan, meningkatkan kemahiran insaniah seperti kemahiran komunikasi, kepimpinan dan lain-lain.

    Antara aktiviti yang dijalankan di Mahad Tahfiz Al-Quran adalah menceriakan bilik komputer, aktiviti kepimpinan dan juga mengadakan kelas bahasa Inggeris untuk melatih dan meningkatkan komunikasi dalam kalangan pelajar mahad.

    Selain itu, rombongan mengambil kesempatan dan peluang untuk bekerjasama dengan Persatuan Mycare Malaysia untuk mengadakan aktiviti suai kenal, mengajar dan membimbing asas solat dan mengadakan kempen kebersihan Pusat Pembelajaran Rohingnya di Hulu Langat, Selangor.

    Pelajar juga berkesempatan mengedarkan sebanyak 100 pek makanan kepada gelandangan dan golongan yang memerlukan di kawasan Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

    Pada hari terakhir, aktiviti diteruskan dengan lawatan ke Pusat Penjagaan Orang Tua Mahmudah, Semenyih bagi mengadakan aktiviti bersama warga emas di sana.

    Pelajar-pelajar Kumpulan Al-Qudwah, UNISSA bersama dua orang pegawai pengiring dari PPIB bergambar ramai semasa menjalani program khidmat masyarakat di Selangor, Malaysia. – GAMBAR SERAHAN UNISSA
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda