Saturday, May 4, 2024
23.9 C
Brunei

    -

    36.8 juta pokok ditanam di seluruh Malaysia

    SHAH ALAM, 17 JULAI – Sebanyak 36.8 juta pokok ditanam di seluruh negara setakat ini melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok yang dilancarkan pada 5 Jan tahun lepas, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

    Takiyuddin berkata lebih 1,000 spesies pokok juga berjaya ditanam dalam tempoh sama menerusi kempen dalam Program Penghijauan Malaysia itu.

    “Pada tahun lepas, kempen ini berjaya melepasi sasarannya dan bagi tahun ini, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) menyasarkan untuk menanam sebanyak 20 juta pokok setahun. 

    “Pencapaian kempen ini boleh dilihat dan diperoleh secara terus melalui aplikasi mudah alih ‘Penghijauan Malaysia’ dan laman sesawang khas www.100jutapokok.gov.my,” katanya berucap pada majlis pelancaran Penghijauan Malaysia: Koperasi Prihatin Sejuta Pokok sempena Bulan Koperasi Kebangsaan dan Sambutan 100 Tahun Koperasi di Taman Botani Negara di sini hari ini.

    Takiyuddin berkata kempen tanam 100 juta pokok itu turut mengajak semua pihak menjayakan gerakan penanaman pokok secara besar-besaran di seluruh negara selain meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap kepentingan pokok dalam kelangsungan hidup.  

    Beliau berkata kempen penanaman satu juta pokok oleh Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) yang bermula tahun lepas hingga tahun depan juga selari dengan sasaran kedua Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan (2016-2025) iaitu meningkatkan sumbangan serta menggalakkan pihak swasta untuk terlibat dengan pemuliharaan dan pemeliharaan sumber biodiversiti. 

    “Saya yakin penglibatan 14,834 koperasi yang mempunyai seramai 7.08 juta anggota seluruh Malaysia mampu mencapai sasaran ini seterusnya menjadi pemangkin kepada usaha pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar di Malaysia.

    “Saya turut mengajak ANGKASA bagi mendaftar dan merekodkan setiap pokok yang ditanam ke dalam aplikasi ‘Penghijauan Malaysia’ yang dibangunkan oleh KeTSA sebagai tanda sumbangan dan sokongan terhadap kempen yang sedang dilaksanakan di peringkat nasional,” katanya. – Bernama

    Tan Sri Noh Omar (enam, kanan) bersama Datuk Seri Takiyuddin Hassan (empat, kiri) menanam pokok sebagai gimik pelancaran Program Penghijauan Malaysia di Taman Botani Negara Shah Alam kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gara-gara pelancong ‘biadab’, pemandangan Gunung Fuji disekat

    FUJIKAWAGUCHIKO, JEPUN, 3 MEI - Kerja-kerja telah dimulakan di sebuah pekan kecil Jepun untuk membina sekatan yang menghalang pemandangan pa-ling terkenal di negara itu,...