Saturday, May 4, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    4 premis perniagaan diberi notis amaran

    Oleh Syahmi Hassan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 APRIL – Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi telah mengeluarkan Notis Amaran kepada empat buah premis perniagaan kerana ketidakpatuhan terhadap Peraturan-peraturan Acara Harga Jualan Murah pada hujung Februari dan Mac lalu.

    Berikutan pemeriksaan ke atas peserta-peserta acara Jualan Mega Brunei 2024 yang dilaksanakan oleh JPES dan daripada aduan pengguna, Syarikat D Euro Fabric, Batu Bersurat telah dikeluarkan Notis Amaran kerana menjalankan aktiviti jualan murah yang mengelirukan pengguna di mana harga sebelum dan selepas diskaun adalah sama.

    Syarikat berkenaan telah melanggar Peraturan 16 (1) dan (2) di bawah Peraturan-peraturan Acara Harga Jualan Murah.

    Manakala itu, Syarikat Shahira Jaya Supermarket Sdn Bhd, Jalan Lumapas; Syarikat Sports Nation Company, Mabohai; dan Syarikat Best Eastern, Mabohai masing-masing melakukan kesalahan di bawah Peraturan 16 (3) dan (4) iaitu mengadakan jualan murah tanpa makluman, tidak mempamerkan notis jualan dan tidak memberi dokumen yang relevan seperti dalam syarat jualan semasa pemeriksaan dijalankan di premis perniagaan.

    Sehubungan itu, JPES dalam kenyataannya sentiasa menasihatkan para peniaga untuk menjalankan acara jualan murah secara beretika dengan mematuhi Peraturan-peraturan Acara Harga Jualan Murah, Akta Pelindungan Pengguna (Perdagangan Wajar), Penggal 261 dan Perintah Paparan Tanda Harga.

    Antara premis perniagaan yang tidak mematuhi Peraturan-peraturan Acara Harga Jualan Murah pada hujung Februari dan Mac lalu. – GAMBAR SERAHAN JPES

    Ini termasuk mempamerkan tanda harga, diskaun serta terma dan syarat dengan benar, jelas dan betul bagi membantu pengguna untuk membuat pilihan pembelian yang bermaklumat.

    Amalan perniagaan yang beretika dan wajar adalah penting bagi membantu meningkatkan keyakinan pengguna dan membina persekitaran perniagaan yang kondusif.

    Peniaga turut disarankan untuk memberikan kerjasama kepada JPES dengan membekalkan maklumat-maklumat perniagaan yang terkini dan sahih seperti senarai harga jualan apabila pemeriksaan dilaksanakan di premis perniagaan.

    Notis Acara Harga Jualan Murah yang dikeluarkan oleh JPES juga hendaklah dipamerkan dengan terang dan jelas di premis perniagaan.

    Peniaga yang masih didapati gagal mematuhi Peraturan-peraturan Acara Harga Jualan Murah boleh dikenakan kompaun maksimum sebanyak $1,000 menurut Bab 10A, Akta Kawalan Harga, Penggal 142. Bagi kesalahan berulang, boleh dikenakan denda maksimum $20,000 dan penjara lima tahun oleh mahkamah di bawah Akta Kawalan Harga, Penggal 142.

    Aduan mengenai amalan perniagaan yang tidak beretika boleh disalurkan kepada JPES melalui aplikasi mudah alih PenggunaBijak atau Talian Darussalam 123, dengan menyertakan dokumen sokongan seperti resit pembayaran atau gambar sebagai bukti, bagi penelitian lanjut.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gara-gara pelancong ‘biadab’, pemandangan Gunung Fuji disekat

    FUJIKAWAGUCHIKO, JEPUN, 3 MEI - Kerja-kerja telah dimulakan di sebuah pekan kecil Jepun untuk membina sekatan yang menghalang pemandangan pa-ling terkenal di negara itu,...