Saturday, May 4, 2024
25.1 C
Brunei

    -

    Brunei capai imunisasi lebih 95 peratus

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 APRIL – Atas komitmen yang berterusan daripada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Program Pengembangan Imunisasi Kebangsaan (PPGIK) Negara Brunei Darussalam telah berjaya menyumbang kepada status Negara Brunei Darussalam sebagai salah satu negara yang diisytiharkan bebas daripada malaria oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 1987, bebas daripada polio pada 2000, bebas daripada campak pada 2015 dan bebas daripada rubela pada 2018.

    Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam perutusannya sempena Minggu Imunisasi Sedunia 2024 berkata, “Alhamdulillah, di Negara Brunei Darussalam, kita sangat beruntung kerana semua rakyat dan penduduk di negara ini dapat menerima perkhidmatan vaksin daripada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia melalui Kementerian Kesihatan.

    “Program Imunisasi Kanak-kanak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam telah mencapai dan mengekalkan kadar liputan imunisasi kanak-kanak di tahap yang melebihi 95 peratus liputan setiap tahun,” jelasnya.

    Beliau menyatakan lagi bahawa pencapaian itu membuktikan bahawa PPGIK dan inisiatif pemberian vaksin di negara ini adalah berkesan dan sangat penting dalam memberikan perlindungan atau pencegahan seawalnya bukan saja kepada seseorang individu tetapi juga kepada individu-individu di sekelilingnya seperti ahli keluarga dan masyarakat.

    “Walau bagaimanapun, di sebalik kejayaan program tersebut di tahap global, masih terdapat cabaran dalam akses dan pengambilan vaksin yang boleh mengancam kesihatan dan kesejahteraan berjuta-juta orang, terutamanya dalam komuniti yang kurang mendapat akses kepada perkhidmatan perubatan,” tambah Yang Berhormat Dato.

    Petugas perubatan ketika memberikan suntikan imunisasi kepada seorang kanak-kanak. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN KESIHATAN

    Terdahulu dalam perutusannya, beliau menyatakan bahawa Negara Brunei Darussalam, sekali lagi bersama dengan negara-negara ahli WHO yang lain, menyambut Minggu Imunisasi Sedunia yang disambut setiap tahun pada 24 hingga 30 April.

    Minggu Imunisasi Sedunia disambut untuk mengingatkan orang ramai tentang peranan vaksin dalam menyelamatkan nyawa dan melindungi orang ramai dari semua peringkat umur daripada penyakit dan kecacatan.

    Sambutan Minggu Imunisasi Sedunia 2024 membawa tema, Humanly Possible, sebagai peringatan tentang kemajuan yang telah dicapai oleh manusia dalam menjaga kesihatan global melalui vaksin untuk mencegah penyakit-penyakit.

    Program Pengembangan Imunisasi (EPI), merupakan satu inisiatif yang dilancarkan oleh WHO pada 1974, sebagai usaha global untuk memastikan akses yang saksama kepada vaksin yang menyelamatkan nyawa untuk setiap kanak-kanak, tanpa mengira lokasi geografi atau status sosioekonomi mereka.

    Tahun ini merupakan ulang tahun ke-50, EPI di mana pencapaian program tersebut dan impaknya terhadap nyawa-nyawa yang telah diselamatkan melalui imunisasi rutin, sepanjang 50 tahun kebelakangan ini, adalah sebagai peringatan kepada orang ramai tentang manfaat program imunisasi sebagai satu intervensi awam yang kos efektif dan penting bagi melindungi orang ramai daripada penyakit berjangkit.

    Pada penubuhannya, EPI memfokuskan kepada perlindungan kanak-kanak daripada enam jenis penyakit kanak-kanak, termasuk batuk kering, difteria, kancing gigi, batuk kokol, polio dan campak.

    Pada masa ini, jumlah imunisasi telah meningkat kepada 13 vaksin seperti mana yang disyorkan secara universal sepanjang hayat.

    Yang Berhormat Dato berkata lagi, dalam meraikan Minggu Imunisasi Sedunia 2024, Kementerian Kesihatan akan terus komited dan berusaha untuk mengukuhkan lagi perkhidmatan imunisasi di Negara Brunei Darussalam bagi seluruh penduduknya yang merangkumi setiap peringkat umur serta memastikan impak vaksin terus membawa kita lebih dekat dengan dunia yang bebas daripada ancaman penyakit yang boleh dicegah.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gara-gara pelancong ‘biadab’, pemandangan Gunung Fuji disekat

    FUJIKAWAGUCHIKO, JEPUN, 3 MEI - Kerja-kerja telah dimulakan di sebuah pekan kecil Jepun untuk membina sekatan yang menghalang pemandangan pa-ling terkenal di negara itu,...