Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    45 pasukan sahut cabaran kejohanan larian

    Oleh Nurdiyanah R. –

    TUTONG, 16 OGOS – Lebih 45 pasukan akan menyahut cabaran dalam Brunei Open Relay Championship 2024 anjuran bersama Jabatan Belia dan Sukan Cawangan Daerah Tutong, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Tutong Runners dan Shahney Event Management yang diadakan selama dua hari iaitu 6 dan 8 September nanti.

    Kejohanan yang turut dibantu oleh Persekutuan Olahraga Negara Brunei Darussalam (BDAF) itu akan dilaksanakan di Kompleks Sukan Tutong antara lain bertujuan untuk membuka peluang golongan atlet veteran mahu pun baharu dalam sama-sama meningkatkan kualiti larian di samping menyuntik semangat mereka agar lebih terarah dan berdaya saing.

    Dalam perkongsian kepada Media Permata, penganjur bersama, Brunei Open Relay Championship 2024, Awang Mazli bin Mashadi, antaranya menjelaskan kejohanan berkenaan lebih tertumpu kepada kategori larian 4 x 100 meter (m) dan 4 x 400m bagi dua kategori utama iaitu Kategori Terbuka dan Kategori Remaja.

    Beliau menambah menerusi kejohanan berkenaan, ia terbuka kepada kementerian-kementerian, skim-skim, kelab-kelab, golongan penuntut dan pasukan yang berminat dalam larian olahraga. Dalam pada itu, pelaksanaan kejohanan itu juga antara lain bertujuan untuk mencari pelapis atlet dengan membukakan Kategori Remaja di bawah 15 tahun iaitu bagi yang lahir pada tahun 2009 ke atas.

    Menyentuh mengenai sistem pertandingan, jelas Awang Mazli, dua peringkat akan dijalankan iaitu separuh akhir dan akhir di mana kelayakan ke peringkat akhir adalah berdasarkan kedudukan masa lapan terbaik. Pemenang akan ditentukan pihak penganjur berdasarkan catatan masa yang disusun mengikut kedudukan.

    “Manakala dalam catatan masa semasa kejohanan, catatan masa akan dilakukan secara hand timing sepenuhnya. Masa reaksi setiap larian akan dicatatkan di dalam keputusan rasmi sebagai panduan jurulatih pada masa akan datang,” tambahnya.

    Dengan mengikuti kejohanan berkenaan, beliau turut menaruh harapan agar ianya dapat menjadi salah satu penanda aras bagi para atlet sebelum berjinak-jinak atau mengikuti kejohanan luar negara yang memiliki cabaran-cabaran tertentu. Hal tersebut juga dihasrat untuk memperkasakan kualiti sukan Negara Brunei Darussalam dari semasa ke semasa khususnya dalam sukan larian.

    Awang Mazli bergambar ramai bersama sebahagian ahli jawatankuasa bahagian teknikal yang bakal bersama menjayakan kejohanan tersebut. – GAMBAR SERAHAN JABATAN BELIA DAN SUKAN TUTONG
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda