Friday, November 1, 2024
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    5 polis didakwa rompak wanita China RM140,000

    KUALA LUMPUR, 15 MEI – Seorang pegawai kanan polis berpangkat ASP bersama empat anggota, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan merompak seorang wanita warga China, membabitkan wang tunai RM140,000 di sebuah apartment, bulan lepas.

    Kelima-lima mereka, ASP Mohd Faizol Ismail, 41, dan empat anggota berpangkat korperal iaitu Khairil Annuar Sulaiman, 39, Mohd Zaidi Jamaludin, 35, Mohd Adrafil Adlan Roslan, 28, dan Ahmad Rohafiz Abdul Rani, 39, didakwa melakukan rompak berkumpulan ke atas wang tunai berjumlah RM140,000 milik Zhang Chenxuan berusia 20an di sebuah unit apartment di Jalan Tun Razak, Wangsa Maju di sini pada jam 5:30 petang, 6 April.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Muhairi Mohamed Noh menawarkan jaminan RM20,000 bagi setiap tertuduh, berserta syarat tambahan pasport kesemua tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah selain dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan, sehingga kes selesai.

    Peguam, Gurmukh Singh Sandhu yang mewakili Khairil Annuar, Mohd Zaidi, Ahmad Rohafiz dan Mohd Faizol, memohon jaminan rendah dengan alasan anak guamnya menanggung keluarga.

    Peguam, Shah Rizal Abdul Manan yang mewakili Mohd Adrafil Adlan, turut memohon jaminan rendah kerana anak guamnya, yang masih belum berkahwin perlu menjaga ibu bapanya.

    Hakim, Hamidah Mohamed Deril membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 20 Jun ini. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda