Sunday, May 5, 2024
23.4 C
Brunei

    -

    8 jenazah tragedi helikopter disembahyangkan, diberi penghormatan terakhir

    IPOH, 24 APRIL – Jenazah lapan mangsa nahas helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut semalam, selesai disembahyangkan dan diberi penghormatan terakhir mengikut istiadat rasmi di Kem 23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Ipoh kira-kira 6 petang.

    Van yang membawa jenazah mangsa beragama Islam itu tiba di kem berkenaan pada 4:50 petang sebaik proses bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh selesai pukul 2:20 petang, sebelum dimandikan dan dikafankan.

    Jenazah lapan pegawai dan anggota TLDM itu disembahyangkan di Surau Jumaat Salahudin Al-Ayubi Kem 23 RAMD yang diimamkan Pegawai staf 1 agama Markas Tentera Laut, Lt Kol Ahmad Kamil Abdullah.

    Sementara itu, suasana pilu dan hiba menyelubungi istiadat berkenaan dengan kehadiran waris mangsa yang mengiringi perjalanan terakhir wira negara itu.

    Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dan Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayub.

    Lapan jenazah itu ialah Pegawai Waran II TNL Noorfarahimi Mohd Saedy, Bintara Muda TNL Noor Rahiza Anuar, Komander Muhammad Firdaus Ramli, Komander Muhamad Amir Mohamad, Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin, Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi, Pegawai Waran II TLR (AQM) Muhammad Faisol Tamadun dan Pegawai Waran II TMK Mohd Shahrizan Mohd Termizi.

    Usai istiadat itu, jenazah dibawa ke destinasi yang dimohon oleh waris masing-masing untuk dikebumikan.

    Sementara itu, dua jasad bukan Muslim iaitu Leftenan Sivasutan Thanjappan dan Laskar Kelas I JJM Joanna Felicia Rohna masing-masing akan dibawa ke kediaman mereka di Kampung Serdang Sitiawan dan diterbangkan ke Serian, Sarawak. – Bernama

    Anggota TLDM mengusung jenazah mangsa nahas helikopter terhempas di Pangkalan TLDM Lumut, tiba di Surau Salahuddin Al-Ayubi untuk disolatkan dan diberi penghormatan terakhir. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gara-gara pelancong ‘biadab’, pemandangan Gunung Fuji disekat

    FUJIKAWAGUCHIKO, JEPUN, 3 MEI - Kerja-kerja telah dimulakan di sebuah pekan kecil Jepun untuk membina sekatan yang menghalang pemandangan pa-ling terkenal di negara itu,...