Sunday, May 5, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    80 peratus peluang pekerjaan diberikan kepada anak Sabah

    KOTA KINABALU, 24 APRIL – Kerajaan Sabah telah meletakkan dasar untuk memberikan 80 peratus daripada peluang pekerjaan, dijana pelaburan sektor perindustrian, diberikan kepada anak tempatan negeri ini.

    Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan negeri Datuk Phoong Jin Zhe berkata, dasar itu antara lain direalisasikan menerusi pelaburan syarikat SK Nexilis dari Korea Selatan dan SBH Kibing Solar dari China, kedua-duanya beroperasi di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) di sini.

    Beliau berkata syarikat itu kedua-duanya mempunyai 86 peratus pekerja terdiri anak Sabah bagi pekerjaan perkilangan, manakala kira-kira 50 peratus antara anak Sabah dan ekspatriat untuk pekerjaan melibatkan juruteknik profesional.

    “Kita perlukan sedikit masa untuk meningkatkan tahap 50 peratus anak Sabah dalam juruteknik profesional, ini kerana dalam proses untuk menjadi juruteknik profesional, ekspatriat ini melatih anak Sabah melalui pemindahan kemahiran serta teknologi.

    “Saya akan pantau rapat perkara ini supaya meningkat hingga 90 kemudian 100 peratus pekerjaan ini dapat dipenuhi anak Sabah,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senallang) tentang dasar pemberian pekerjaan kepada anak Sabah dalam sektor perindustrian, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.

    Beliau berkata anak Sabah yang bekerja dengan syarikat itu telah dihantar ke kilang utama syarikat masing-masing di Korea Selatan dan China bagi meningkatkan kemahiran serta mempelajari teknologi baharu daripada syarikat berkenaan. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gara-gara pelancong ‘biadab’, pemandangan Gunung Fuji disekat

    FUJIKAWAGUCHIKO, JEPUN, 3 MEI - Kerja-kerja telah dimulakan di sebuah pekan kecil Jepun untuk membina sekatan yang menghalang pemandangan pa-ling terkenal di negara itu,...