Sunday, May 5, 2024
29.6 C
Brunei

    -

    Acara baharu bakal warnai dunia Tenis

    SYDNEY, 28 OKT – Satu acara berpasukan campuran, Piala United, akan membuka musim kejohanan tenis 2023 di Australia, yang akan mempertaruhkan hadiah wang tunai AS$15 juta dan mata ranking, kata ATP dan WTA kelmarin.

    Ia akan menggantikan Piala ATP Lelaki dan akan diadakan di Brisbane, Perth dan Sydney sebagai acara tumpuan sebelum Kejohanan Grand Slam Terbuka Australia.

    18 negara akan bertanding selama 11 hari mulai 29 Disember, dengan setiap kumpulan terdiri daripada sehingga empat lelaki dan empat wanita dengan 500 WTA dan 500 ATP mata ranking ditawarkan.

    “Piala United adalah kerjasama strategik dan penting untuk WTA, ATP, dan Tenis Australia yang mencerminkan komitmen berterusan untuk meningkatkan lagi mutu sukan ini,” kata ketua WTA, Steve Simon.

    “Acara perseorangan dan beregu campuran ini akan menampilkan bintang-bintang yang sedang meningkat naik dan atlet berpengalaman daripada kedua-dua siri jelajah untuk bertanding di platform yang sama.”

    Brisbane, Perth dan Sydney masing-masing akan menjadi tuan rumah kepada dua kumpulan dari tiga negara dalam format pusingan round robin bermula 29 Disember hingga 4 Januari yang mengandungi dua perlawanan lelaki perseorangan, dua perlawanan wanita perseorangan, serta satu perlawanan beregu campuran. Pemenang kumpulan dari setiap bandar akan bertemu untuk mengisi slot separuh akhir di Sydney, dengan pemenang tempat kedua dalam kumpulan akan turut menyertai pusingan kali ini.

    “Piala United melambangkan kemajuan besar dalam dunia tenis,” kata pengerusi ATP, Andrea Gaudenzi.

    “Paling penting, ia akan memberikan pengalaman baharu kepada peminat kami. Kami sangat teruja untuk melihat pemain terbaik lelaki dan pemain terbaik wanita bersaing bersama-sama, dengan mempertaruhkan mata ranking, untuk memulakan musim ini buat pertama kalinya.”

    Pusingan akhir Piala United akan berlangsung di Sydney pada 8 Januari dengan Terbuka Australia yang akan bermula di Melbourne Park pada 16 Januari. – AFP

    Ketua WTA, Steve Simon berkata Piala United mencerminkan komitmen berterusan dari WTA, ATP dan Tenis Australia untuk meningkatkan lagi mutu sukan ini. – ANN/The Star
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gara-gara pelancong ‘biadab’, pemandangan Gunung Fuji disekat

    FUJIKAWAGUCHIKO, JEPUN, 3 MEI - Kerja-kerja telah dimulakan di sebuah pekan kecil Jepun untuk membina sekatan yang menghalang pemandangan pa-ling terkenal di negara itu,...