Tuesday, November 5, 2024
29.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ahli MMN lawat lokasi pelancongan di Daerah Belait

    BELAIT, 3 NOV – Rombongan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) baru-baru ini mengadakan lawatan ke beberapa buah lokasi pelancongan di Daerah Belait.

    Lawatan tersebut turut disertai oleh Timbalan Setiausaha Tetap I di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Haji Mohammad Yusree bin Haji Junaidi dan Timbalan Setiausaha Tetap di KSSUP, Dayang Noralinda binti Haji Ibrahim serta pegawai-pegawai kanan KSSUP.

    Lawatan rombongan ahli-ahli MMN bermula di Pusat Biodiversiti Hutan Tropika (TBC) di Kampung Sungai Lumut, Belait.

    Pusat ini memainkan peranan penting dalam memelihara kekayaan biodiversiti negara, bukan sahaja sebagai hab pemuliharaan tetapi juga sebagai sumber utama untuk menyebarkan maklumat tentang kepelbagaian ekosistem di rantau ini.

    Rombongan ahli MMN seterusnya melawat Syarikat Pertanian Tropikal Utama (Ladang Kopi Labi), Kampung Rampayoh, Mukim Labi.  

    Rombongan ahli-ahli MMN semasa mengadakan lawatan di Rumah Panjang Mendaram Besar. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    GAMBAR OLEH DANIEL LIM

    Lawatan diteruskan ke Rumah Panjang Teraja, Labi. Rumah panjang tersebut sebuah rumah komuniti etnik Iban yang terletak di penghujung Jalan Labi.

    Komuniti ini juga ada menyediakan perkhidmatan pemandu pelancong bagi aktiviti merentas hutan yang mana laluan tersebut akan membawa para pengunjung ke Wasai Teraja.

    Rombongan tersebut seterusnya melawat Rumah Panjang Mendaram Besar, Labi. Komuniti di rumah panjang itu memperkenalkan budaya etnik Iban termasuk mengetengahkan hasil anyaman dan kraf tangan.

    Lawatan diteruskan ke Taman Rekreasi Hutan Luagan Lalak, Labi. Taman rekreasi tersebut merupakan sebuah tempat riadah alam semula jadi dan juga tempat penerokaan pelbagai spesies flora dan fauna dan pelbagai jenis burung di Mukim Labi.

    Lawatan berakhir di Herbarium Negara di Pusat Perhutanan Sungai Liang, Labi.

    Herbarium Negara merupakan tempat penyimpanan koleksi spesimen tumbuh-tumbuhan kering yang terdiri daripada spesies pokok-pokok dan tumbuh-tumbuhan herba yang terdapat di negara ini.

    Lawatan itu merupakan siri lawatan ketiga dan terakhir yang bertujuan menyampaikan misi untuk mengangkat Negara Brunei Darussalam sebagai destinasi pelancongan utama yang memelihara warisan budaya dan semula jadi, selaras dengan prinsip-prinsip kelestarian.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda