Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Alvin sukar peroleh watak mencabar

    Pelakon Malaysia, Alvin Chong sukar menerima watak mencabar berikutan wajahnya kelihatan baik.

    Alvin berkata, dia pernah hadir pada sesi uji bakat bagi filem aksi, namun gagal terima tawaran disebabkan wajahnya.

    Sudah mencuba, Alvin sangat mengharapkan tawaran lakonan mencabar diri sebagai pelakon.

    “Setakat ini, apa yang saya dapat lebih kurang sama, hero nampak ‘handsome’ dan kemas. Tunggu juga tawaran lebih mencabar, tapi belum dapat lagi. Belum ada rezeki lagi rasanya.

    “Saya nak juga watak psiko dalam naskhah ‘serial killer’, tapi belum dapat lagi sebab orang nampak saya macam budak baik.

    “Saya pernah pergi uji bakat untuk filem, tapi tak boleh cakap filem apa. Saya uji bakat untuk watak polis atau tentera, tapi mereka cakap lakonan okay, namun pengarah cakap muka terlalu baik, jadi saya tak dapat,” katanya kepada BH Online.

    Alvin berkata, dia tidak tahu bagaimana cara untuk meyakinkan pengarah mahupun penerbit untuk memberikannya peluang menjayakan watak berbeza daripada apa sering dijayakan.

    “Nak buat macam mana, takkan nak suruh saya pergi buat muka, tanam janggut, misai dan sebagainya. Tak mungkin saya buat semua itu. Kalau suruh saya simpan misai dan janggut, ia tidak tumbuh sebab memang genetik saya sebegini.

    “Saya pun tak tahu nak buat macam mana sebab saya nak juga watak berbeza, nanti orang tengok lakonan saya pun bosan. Takkan asyik drama cinta, orang ketiga, emak mentua tak suka dan sebagainya,” katanya yang ditemui di lokasi penggambaran drama Rahsiamu Selamat Denganku di Universiti Help, Subang Bestari, di sini, semalam. 

    Berkongsi mengenai perkembangan sebagai penyanyi, Alvin baru sahaja melancarkan album berjudul Between The Lines. – Agensi

    Alvin pernah hadir sesi uji bakat bagi filem aksi, namun gagal terima tawaran disebabkan wajahnya terlalu baik. – Utusan Malaysia
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda