Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Anak pelakon terkenal Sepanyol dipenjara seumur hidup di Thailand

    BANGKOK, 29 OGOS – Mahkamah di Thailand hari ini mendapati Daniel Sancho Bronchalo, seorang ahli keluarga pelakon terkenal Sepanyol, bersalah kerana merancang pembunuhan kejam dan menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup, dalam kes mengerikan yang melibatkan mangsa dipotong-potong.

    Mahkamah Wilayah Koh Samui pada mulanya menjatuhkan hukuman mati ke atas Sancho tetapi mengubahnya kepada penjara seumur hidup kerana kerjasamanya semasa perbicaraan, kata Kolonel Polis Paisan Sangthep, timbalan komander Polis Wilayah Surat Thani, yang menghadiri perbicaraan itu.

    Sancho, seorang cef berusia 30 tahun dengan saluran YouTube, telah didakwa atas tuduhan membunuh Edwin Arrieta Arteaga, seorang pakar bedah plastik berusia 44 tahun dari Colombia, ketika kedua-duanya bercuti di pulau percutian Thailand, Koh Pha-ngan pada Ogos tahun lalu.

    Pulau itu terkenal dengan pesta pantai bulanan ‘Bulan Penuh’, menarik pelancong dari seluruh dunia untuk sambutan sepanjang malam.

    Lelaki yang disabitkan kesalahan itu adalah anak kepada Rodolfo Sancho Aguirre, seorang pelakon terkenal Sepanyol, dan Silvia Bronchalo, yang juga pernah berlakon. Kedua-dua ibu bapanya berusia 49 tahun dan menghadiri sesi mahkamah hari ini.

    Rodolfo Sancho, bapa kepada Daniel Sancho Bronchalo, meninggalkan mahkamah wilayah Koh Samui di Surat Thani, selatan Thailand, kelmarin. – AP

    Mahkamah juga memerintahkan Sancho membayar lebih 4.2 juta baht (AS$125,000) sebagai pampasan kepada keluarga mangsa. Peguam yang mewakili keluarga berkenaan pada perbicaraan itu telah meminta 30 juta baht ($882,000), lapor agensi berita Sepanyol, EFE.

    EFE juga memetik bapa Sancho, Rodolfo memberitahu media selepas keputusan bahawa dia berniat ‘untuk sentiasa berjuang, untuk terus berjuang.’

    Semasa perbicaraannya di pulau Samui, Daniel Sancho telah mendakwa dia bergaduh dengan Arrieta kerana didakwa cuba menyerangnya secara seksual. Dia berkata bahawa Arrieta terjatuh ketika mereka bergelut dan kepalanya terhentak tab mandi, tidak sedarkan diri dan kemudian meninggal dunia.

    Dia mengaku tidak bersalah atas tuduhan pembunuhan terancang.

    Sancho mengakui memotong-motong mayat mangsa dan membuang bahagian badan di darat dan laut. Bagi pertuduhan menyembunyikan mayat, dia menerima hukuman penjara empat bulan, dikurangkan kepada dua bulan kerana mengakui perbuatan itu, kata Paisan.

    Dia juga mengaku tidak bersalah atas tuduhan memusnahkan dokumen orang lain – pasport mangsa – yang mana dia menerima hukuman penjara dua tahun. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda