Tuesday, November 5, 2024
29.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    ASTERAWANI rai tiga tokoh sasterawan negara

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 NOV – Angkatan Sasterawan dan Sasterawani Brunei (ASTERAWANI) telah mengadakan Majlis Penghargaan ASTERAWANI bertempat di Kafe Al-Afiah, Kiulap, semalam.

    Majlis penghargaan berkenaan telah diadakan bagi meraikan tiga orang tokoh yang baru-baru ini menerima anugerah berprestij atas pencapaian mereka masing-masing.

    Mereka yang diraikan berkenaan terdiri daripada Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman (Badaruddin H.O.) yang menerima Anugerah Sastera Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera); Pengiran Haji Mahmud bin Pengiran Haji Damit (Mahmudamit) yang menerima Anugerah Guru Berjasa; dan Profesor Ampuan Dr Haji Brahim bin Ampuan Haji Tengah (Brahim AHT / Rahimi A.B.) menerima Anugerah Buku Negara Malaysia 2024: Tokoh Cendekiawan Sepanjang Zaman.

    Ketiga-tiga tokoh berkenaan telah bergiat aktif dalam bidang sastera, bahasa, budaya dan penulisan sejak di usia muda lagi bermula dari sekitar tahun 60an hingga sekarang dan telah menghasilkan beberapa buah buku bercorak akademik, sejarah, budaya, bahasa, sastera dan kritikan.

    Antara ulasan yang diberikan mengenai Badaruddin H.O. beliau cenderung ke arah perkembangan puisi dakwah. Beberapa puisinya pernah diulas dalam jurnal Pengajian Melayu 2018 seperti Meski RumahMu Di Akhirat, Istighfar Rejab, Ini Zat Bukan Bayangku, Episod-episod Tsunami, Takdir Itu Begini, Di Malam Kudus Ramadan dan Tongkat Putih.

    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin, Pengiran Haji Mahmud dan Profesor Ampuan Dr Haji Brahim bergambar ramai semasa majlis tersebut. – GAMBAR SERAHAN ASTERAWANI

    Banyak lagi puisi beliau yang boleh diikuti dalam siri Puisi Hidayat dan juga buku Episod-Episod Si Awang.

    Sementara itu puisi-puisi terkini Mahmudamit dapat dibaca dalam Antologi Semarak Sastera dan Tarian Naga Di Puncak Menara. Selain puisi, Mahmudamit juga menulis cerpen.

    Penghuni Piasau Tunjung adalah tajuk cerpen beliau yang memenangi hadiah pertama, anjuran ASTERAWANI pada tahun 1964. Tiga kali memenangi Hadiah Kreatif Bahana dalam bidang puisi. Beliau turut menghasilkan tiga buah buku berkaitan pendidikan bahasa, antaranya Aspek Kemahiran Lisan (Syarikat Mega, 2003). Sebelum bersara pada Mei 1997 daripada perkhidmatan awam, beliau adalah pensyarah di Universiti Brunei Darussalam (UBD) bermula 1988 hingga 1997.

    Brahim AHT / Rahimi A.B pula ialah seorang yang telah bertugas dalam banyak kapasiti seperti pensyarah (1992), pensyarah kanan (2000); profesor madya (2008) dan profesor (2021) di UBD. Dalam bidang pentadbiran UBD, beliau pernah menjawat jawatan Timbalan Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FASS) (2000), Dekan Pelajar (2001-2005); Dekan FASS (2005-2008); Pengarah Akademi Pengajian Brunei (2012-2016), Pengarah Pusat Pengajian Islam Sultan Omar ‘Ali Saifuddien (2019-2020); dan memangku jawatan Ketua Jabatan Kesusasteraan Melayu, Dekan Lepasan Ijazah dan Penyelidikan; dan Penolong Naib Canselor.

    Antara penerbitan buku Brahim AHT / Rahimi A.B ialah Hikayat Awang Kamaruddin: Analisis dan Contoh Soalan Peperiksaan Bersama Jawapan. (DBP Brunei, 2004); sebuah monograf bertajuk Sastera Brunei Sebagai Entiti Sastera Nusantara (DBP Kuala Lumpur, 2000); dan Hikayat Merong Mahawangsa: Karya Agung dalam Sejarah Kesultanan Kedah (DBP, Kuala Lumpur, 2022). Begitu juga penerbitan bersama, antaranya ialah Panorama Sastera Nusantara (Balai Pustaka Jakarta. 1997); Melayu Islam Beraja, The Malay Islamic Monarchy in Negara Brunei Darussalam Prior 1906: A Historical Study (UNISSA, 2021); dan An Overview of Brunei Literature: History, Historiography and Critical Approaches, dalam Routledge Handbook of Contemporary Brunei (Routledge, 2023).

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda