Tuesday, September 17, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bangunan tiga tingkat runtuh, lapan terbunuh

    NEW DELHI, 8 SEPT – Anggota penyelamat India hari ini mengeluarkan lapan mayat dari runtuhan bangunan tiga tingkat di bandar Lucknow, menurut laporan, dengan menteri negeri menyifatkan kematian itu sebagai ‘menyayat hati’.

    Agensi berita Press Trust of India (PTI) menyiarkan imej timbunan konkrit, dan pasukan penyelamat negeri dengan mesin penggali berat mencari mayat.

    Bangunan komersial itu, yang telah digunakan oleh beberapa syarikat kecil termasuk sebagai gudang dan bengkel kenderaan, runtuh pada petang kelmarin.

    PTI memetik pegawai sebagai berkata lapan mayat telah dikeluarkan, dan 28 orang yang lain cedera.

    Tidak jelas jika masih ada orang lain yang terperangkap.

    Punca runtuhan tidak diketahui, tetapi kemalangan bangunan dan pembinaan adalah perkara biasa semasa musim monsun Jun-September di India, dengan struktur lama dan usang runtuh akibat hujan tanpa henti selama beberapa hari.

    Akash Singh, yang bekerja di bangunan itu, berkata tiang bangunan telah retak.
    Dia telah berpindah ke tingkat bawah kerana bimbang ia akan menjadi lebih teruk, dengan hujan monsun yang lebat melanda bandar itu.

    “Tiba-tiba, seluruh bangunan runtuh menimpa kami,” kata Singh, menurut PTI.

    Yogi Adityanath, ketua menteri negeri Uttar Pradesh, menyifatkan kematian itu sebagai ‘menyayat hati’ dalam satu kenyataan, dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa. – AFP

    Tangkap layar daripada PTI menunjukkan bangunan komersial yang runtuh pada petang 7 September. – ANN/The Straits Times
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda