Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Banjir, ribut landa Afrika Selatan

    CAPE TOWN, 11 JULAI – Beberapa kawasan Cape Town dilanda banjir hari ini selepas hujan lebat musim sejuk dan angin kencang melanda bandar itu, menerbangkan bumbung rumah dan merosakkan ribuan tempat tinggal sementara, kata pegawai Afrika Selatan.

    Pusat Operasi Bencana Bandar berkata penempatan tidak rasmi di sekitar bandar itu, termasuk kawasan utama Khayelitsha, terjejas teruk akibat banjir.

    Beberapa jalan, termasuk lebuh raya utama, dinaiki air dan timbulnya kebimbangan mengenai peningkatan paras air di empangan.

    “Kami sedang berusaha membaiki antara 14,000-15,000 struktur yang telah terjejas tetapi jumlah itu terus berubah,” kata jurucakap pusat pengurusan bencana wilayah Wouter Kriel kepada AFP.

    “Sebahagiannya adalah rumah, sebahagian lagi adalah struktur lain termasuk perkampungan tidak rasmi yang terjejas teruk,” katanya.

    Ombak menghempas persiaran Sea Point di Cape Town, Afrika Selatan pada 8 Julai. – AP

    Seorang wartawan AFP melihat beberapa rumah yang telah kehilangan bumbung mereka akibat angin kencang yang turut membengkokkan talian elektrik, dengan gangguan bekalan elektrik dilaporkan di beberapa kawasan.

    Penduduk Cape Town, Sammy Gelord berkata angin telah menerbangkan bumbung rumahnya di pinggir bandar Wynberg.

    “Saya tidak pernah melihat sesuatu seperti itu dalam hidup saya, ia memusnahkan bumbung dan segala-galanya,” katanya kepada AFP.

    Jabatan pendidikan Western Cape mengarahkan puluhan sekolah di seluruh bandar dan kawasan lain di wilayah itu ditutup hari ini kerana amaran cuaca buruk keluar sehingga Jumaat.

    Perkhidmatan Cuaca Afrika Selatan memberi amaran bahawa hujan lebat yang mencetuskan banjir dan kemungkinan tanah runtuh dijangka berlaku di Cape Town serta kawasan Drakenstein dan Stellenbosch di luar bandar. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda