Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bank Baiduri diiktiraf terbaik di Brunei

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OGOS – Bank Baiduri sekali lagi telah diiktiraf sebagai Bank Terbaik di Brunei oleh Global Finance dalam anugerahnya untuk 2024, menandakan kali kesembilan bank berkenaan telah menerima pengiktirafan berprestij berkenaan.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bank Baiduri, di sini, Global Finance memuji Bank Baiduri atas prestasi cemerlang kewangan dan kecekapan operasinya dengan menekankan peningkatan mengagumkan bank itu dalam petunjuk-petunjuk kewangan utama sepanjang tahun lalu.

    Penerbitan itu mengambil maklum akan tumpuan strategik Bank Baiduri dalam mengoptimumkan operasinya dan memacu pertumbuhan yang telah memantapkan lagi kedudukannya sebagai institusi kewangan unggul di Brunei.

    Pencapaian itu mencerminkan komitmen bank berkenaan untuk mencapai kecemerlangan dan keupayaannya untuk menyampaikan prestasi yang kukuh secara konsisten.

    Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui menyatakan bahawa bank komited untuk kekal di hadapan dengan terus menyesuaikan perniagaan supaya kekal siaga masa hadapan.

    Bank Baiduri telah diiktiraf oleh Global Finance sebagai Bank Terbaik di Brunei. – GAMBAR FAIL OLEH MUIZ MATDANI

    Perjalanan transformasi digital bank berkenaan, ulasnya, merupakan bukti kepada tumpuan bank terhadap inovasi berpaksikan pelanggan.

    “Kami tetap berdedikasi untuk meningkatkan penyelesaian perbankan bersifat peribadi, menyokong perniagaan tempatan dan menyelaraskan aktiviti CSR kami dengan matlamat kemampanan global.”

    Selain itu, Ti Eng Hui juga menyatakan bersempena sambutan ulang tahun ke-30 Bank Baiduri, anugerah itu adalah amat bermakna bagi mereka.

    Beliau menyatakan penghargaan kepada pihak berkepentingan, rakan-rakan kongsi perniagaan dan pelanggan atas sokongan padu mereka.

    “Pengiktirafan ini memberikan kami motivasi untuk terus memacu inovasi, kemampanan dan pertumbuhan strategik,” tambahnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda