Wednesday, November 27, 2024
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bantuan dua beradik ‘sentuh hati’ kanak-kanak di hospital

    FREEHOLD – Melawan kanser otak, Giada Demma berbaring di katil hospital pediatrik, badan kecilnya terlihat dalam gaun hospital hijau kusam.

    Sepupunya, Giuliana Demma terkenang kembali kepada kanak-kanak berusia satu tahun itu dan berfikir begitu sedihnya suasana tersebut, anak kecil tenggelam dalam gaun buruk pelbagai saiz yang terlalu besar untuknya.

    “Saya berfikir sendiri, ‘Kenapa dia perlu memakainya? Kenapa dia tidak boleh memakai sesuatu yang lebih baik?” kata Giuliana.

    Diilhamkan oleh suasana tersebut, Giuliana Demma, 13, dan adik perempuannya berusia 11 tahun telah menjahit dan menyumbangkan lebih daripada 1,800 gaun berwarna cerah dan bercorak ceria untuk kanak-kanak di hospital dalam 36 negeri.

    Mereka juga telah menghantarnya ke Uganda, dengan tiga negara Afrika lain yang akan menerimanya pada musim luruh.

    Giuliana dan Audrina menjahit gaun hospital kanak-kanak di tingkat bawah tanah rumah miliknya. – AP
    Vito DiSimone yang berusia setahun memakai gaun tema filem Cars. – AP
    Giada Demma duduk di katil hospital dengan memakai gaun Disney. – AP
    Ategeka memakai gaun bertemakan filem Harry Potter yang dibuat oleh Giuliana. – AP
    Audrina Demma memegang bantal yang dijahitnya. – AP
    Audrina Demma (kiri) dan Giuliana (kanan). – AP

    “Saya mahu berbuat sesuatu untuk membantu kanak-kanak seperti Giada dan memberikan mereka gaun hospital yang mempunyai corak indah, berwarna-warni, yang membuatkan mereka merasa selesa ketika mengharungi masa sukar,” kata Giuliana.

    Keluarga mereka mengupah tukang jahit wanita untuk membuat gaun puteri Disney tempahan bagi Giada, yang telah ditahan di hospital pada 2017 dan sekarang dalam keadaan baik.

    Tetapi ketika Giuliana membesar dalam masa empat hingga lima tahun, dia mempunyai minat dalam jahitan dan ingat bagaimana Giada memakai gaun yang besar dan kusam beberapa tahun lalu.

    Namun, apabila Giuliana belajar untuk menjahit, Giada tidak lagi ditahan di hospital. Tetapi dia mula membuat gaun berwarna-warni untuk kanak-kanak sakit yang lain.

    DAPAT SOKONGAN RAMAI

    Rekaan pertamanya ialah gaun bertemakan corak flamingo dan Paris untuk seorang kanak-kanak kanser yang dikenali oleh ibu saudaranya.

    Kanak-kanak tidak pernah dikenakan caj untuk gaun-gaun yang dijahitnya, tetapi telah dibayar melalui sumbangan berbentuk wang dan material.

    Yayasan Starbucks memberikan projek tersebut peruntukan bernilai AS$3,000 tahun ini.

    Syarikat kain sebuah hospital, ImageFIRST di Clifton, New Jersey, membersihkan kesemua pakaian secara percuma sebelum menghantarnya ke hospital-hospital, dan sebuah kumpulan wanita di rancangan perumahan berdekatan dan kumpulan belia gereja membantu dengan kira-kira 40 sukarelawan memotong fabrik untuk anak-anak perempuan berkenaan.

    Giuliana mendapat pertolongan daripada adiknya, Audrina, yang juga suka menjahit.

    Adiknya akan membantu apabila Giuliana mempunyai kerja sekolah untuk disiapkan, dengan pergi ke ruang bawah tanah rumah mereka di Freehold, New Jersey, tidak jauh dari Jersey Shore, yang telah dijadikan ruang operasi menjahit.

    Kepakaran Audrina adalah menjahit bantal kecil untuk pesakit muda. Bantal tersebut dihantar bersama kotak penanda supaya penerima boleh mewarnakan bantal tersebut mengikut kehendak mereka semasa berada di hospital.

    Audrina membuat 100 bantal sebagai sebahagian daripada usaha untuk mendapatkan anugerah Girl Scout Bronze, membungkus dan menghantarnya ke hospital-hospital. Dia membuat bantal-bantal bertema secara bermusim untuk Hari St Patrick, Hari Valentine dan masa-masa istimewa lainnya seperti ketika musim sejuk lalu dia membuat 100 bantal orang-orang salji.

    Ia biasanya sebahagian daripada bungkusan direka oleh anak-anak perempuan tersebut yang termasuk itik getah dan permainan lainnya, dan sebuah pertubuhan amal kanser pediatrik, LIV Like a Unicorn, memasukkannya ke dalam kotak-kotak untuk dihantar kepada kanak-kanak yang menghidap kanser.

    Pertubuhan amal Minnesota Children’s Surgery International mengambil 60 gaun tersebut ke hospital-hospital di Uganda pada Februari dengan lebih banyak lagi menuju ke Gambia, Liberia dan Ethiopia pada musim luruh.

    SENYUMAN DIKALA HADAPI KESUKARAN

    Sebahagian penerima menulis kembali untuk berterima kasih kepada anak-anak perempuan berkenaan untuk gaun dan bantal tersebut.

    “Saya suka melihat senyuman di wajah kanak-kanak itu, walaupun mereka sedang melalui masa-masa yang sukar,” kata Audriana, yang ingin menjadi doktor haiwan.

    Anak-anak perempuan itu baru-baru ini mula menjahit zip pada baju-T berwarna cerah untuk menyesuaikan lubang infusi untuk kemoterapi atau ubatan lain yang membolehkan pesakit muda tidak memakai gaun semasa di hospital.

    Anak lelaki Samantha DiSimone, Vito telah ditahan pada Januari di New York bagi penyakit injap jantung ketika usia sembilan tahun.

    Pekerja hospital membawa bungkusan bertutup dengan gaun yang Giuliana reka daripada material dengan corak daripada filem Cars.

    Dia tersenyum lebar apabila mereka membongkar pakaian itu.

    “Saya sangat terharu,” kata Samantha DiSimone.

    “Awda berada di hospital berdoa agar anak awda dapat menjalani pembedahan, dan melihat dia memakai gaun itu dengan senyuman lebar di wajahnya adalah satu perkara yang menakjubkan.”

    Bertutur lembut dan menceritakan dengan tenang usahanya, Giuliana mempunyai sikap matang untuk seseorang yang melangkaui usianya, walaupun dia cuma tamat daripada sekolah menengah.

    Dia bercita-cita mahu menjadi pakar bedah kanser, dan dia suka mendengar luahan daripada penerima-penerima gaun.

    “Saya begitu gembira dapat membantu membuat perubahan untuk mereka pada masa-masa sukar ini,” katanya.

    “Saya mahu mereka merasa yakin dan tahu bahawa mereka adalah sumber inspirasi, dicintai dan kuat serta berani. Mereka boleh memakai gaun-gaun ini dan memilih sesuatu yang menceriakan mereka.”

    Melissa Demma, ibu Giada, berkata dorongan oleh sepupu muda anaknya untuk membuat dan memberi gaun ‘menyentuh hati saya setiap hari’.

    “Mereka adalah anak-anak perempuan muda dan ini adalah pilihan yang mereka pilih untuk lakukan, meluangkan masa mereka membantu yang lain,” katanya.

    “Jika semua orang boleh menjadi sebegini, dunia akan menjadi lebih baik. Ia membuatkan saya merasa senang untuk masa depan dan apa dunia ini boleh jadi.” – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda