Sunday, May 5, 2024
22.5 C
Brunei

    -

    Bantuan mula diterima

    SUKKUR, PAKISTAN, 29 OGOS – Operasi bantuan besar-besaran telah dilaksanakan hari ini dengan bantuan antarabangsa mula tiba ketika Pakistan bergelut menangani banjir monsun yang telah menjejaskan lebih 33 juta orang.

    Para pegawai berkata 1,061 orang telah meninggal dunia sejak Jun apabila hujan bermusim bermula, tetapi angka terakhir mungkin lebih tinggi ketika ratusan buah kampung di utara pergunungan telah terputus oleh sungai yang dilanda banjir yang menghanyutkan jalan dan jambatan.

    Monsun tahunan adalah penting untuk mengairi tanaman dan menambah air tasik dan empangan di seluruh benua India, tetapi ia juga boleh membawa kemusnahan.

    Pegawai berkata banjir tahun ini telah menjejaskan lebih 33 juta orang – satu daripada tujuh rakyat Pakistan – memusnahkan atau membinasakan hampir sejuta rumah.

    Menteri Perubahan Iklim, Sherry Rehman menggelarnya ‘monsun raksasa dalam dekad’ ini.

    Banjir tahun ini adalah setanding dengan 2010 – yang paling teruk dalam rekod – apabila lebih 2,000 orang maut dan hampir satu perlima daripada negara itu ditenggelami air.

    Berdekatan Sukkur, sebuah bandar yang terletak di wilayah selatan Sindh yang menempatkan tambak zaman penjajah di Sungai Indus bagi mengelakkan bencana selanjutnya, seorang petani meratapi kemusnahan yang berlaku di sawah padinya.

    Berjuta-juta ekar sawah bendang telah dibanjiri hujan selama berminggu-minggu, tetapi kini Indus dalam keadaan terancam yang bila-bila masa akan melimpahi tebingnya akibat arus deras yang mengalir ke hilir dari anak sungai di utara. – AFP

    Orang ramai memunggah pakej bantuan dari sebuah helikopter di daerah Jafarabad di wilayah Balochistan, Pakistan pada 28 Ogos. – Xinhua
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gara-gara pelancong ‘biadab’, pemandangan Gunung Fuji disekat

    FUJIKAWAGUCHIKO, JEPUN, 3 MEI - Kerja-kerja telah dimulakan di sebuah pekan kecil Jepun untuk membina sekatan yang menghalang pemandangan pa-ling terkenal di negara itu,...