Tuesday, September 17, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    BDAC anjur kursus penyelesaian masalah strategik

    Oleh Sim Y. H. 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 SEPT – Kemahiran pengantaraan memainkan peranan yang amat penting bukan sahaja dalam persekitaran profesional tetapi dalam kehidupan seharian.

    Perkara itu ditekankan oleh Penguam Negara, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Dayang Hajah Nor Hashimah binti Haji Mohammed Taib dalam ucapannya di Majlis Perasmian Kursus Latihan Tahunan, Strategic Conflict Management for Professionals yang berlangsung di Dewan At-Raqwa, Bangunan jabatan Perkhidmatan Awam, hari ini.

    Yang Berhormat Datin Seri Paduka Dayang Hajah Nor Hashimah menyampaikan ucapan.

    Beliau turut menekankan bagaimana kemahiran mediasi dapat diaplikasikan secara berkesan untuk menyelesaikan konflik di peringkat komuniti, organisasi dan peribadi sekali gus meningkatkan komunikasi dan pemahaman dalam pelbagai konteks.

    Terdahulu, Pengerusi Pusat Timbangtara Brunei Darussalam  (BDAC), Yang Arif Raden Safiee bin Raden Mas Basiuni dalam kata alu-aluannya telah menyentuh mengenai pencapaian BDAC sepanjang 2024 seperti penyertaan BDAC dalam Borneo ADR Week, penganjuran BDAC Commercial Arbitration Moot untuk pelajar serta graduan undang-undang serta penandatanganan memorandum persefahaman dengan Singapore Mediation Centre.

     Yang Arif Raden Safiee menyampaikan kata-kata aluan.

    Kursus berkenaan disertai oleh pelbagai peserta dari sektor kerajaan dan swasta di mana para peserta akan mempelajari sifat suatu konflik, jenis pertikaian yang dinamik, teknik penyelesaian yang berkesan serta latihan praktikal.

    Dengan bimbingan oleh 2 jurulatih dari Singapore Mediation Centre (SMC) iaitu Loong Seng Onn dan Zechariah J.H Chan, kursus berkenaan telah disesuaikan untuk melatih kemahiran menyelesaikan pertikaian dalam pelbagai situasi terutamanya dalam organisasi sama ada konflik yang berlaku secara dalaman atau luaran kepada para peserta.

    Ujian Penilaian Kemahiran Mediasi (Mediation Skill Assessment, MSA) pula akan dijalankan pada 9 dan 10 Oktober nanti untuk peserta memperoleh sijil profesional dan tauliah sebagai seorang pengantara yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

    Dengan adanya program SCMP dan MSA pada 2024, BDAC berhasrat untuk memperluas lagi jumlah bilangan profesional yang pakar dalam pengantaraan serta mempromosikan manfaat Penyelesaian Pertelingkahan Alternatif  atau Alternative Dispute Resolution (ADR) di Negara Brunei Darussalam. Setakat ini, BDAC telah menghasilkan 51 alumni SCMP dengan 23 daripada mereka telah mencapai akreditasi sebagai pengantara.

    Gambar ramai semasa majlis perasmian berkenaan.- GAMBAR-GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda