Sunday, May 5, 2024
29.6 C
Brunei

    -

    Benfica tunjukkan Ajax jalan keluar di UCL

    AMSTERDAM, 16 MAC – Darwin Nunez berjaya menanduk masuk bola melepasi gawang pada minit ke-77 ketika Benfica mengejutkan Ajax untuk mara ke pusingan suku akhir Liga Juara-Juara, semalam, memenangi pusingan kedua perlawanan kelompok 16 terakhir 1-0 di Amsterdam untuk mara dengan agregat 3-2.

    Pasukan Portugal itu gagal mencatat sebarang percubaan tepat sehingga penyerang Uruguay, Nunez, menewaskan penjaga gol Ajax, Andre Onana melalui tandukan pada perlawanan yang berlangsung di Johan Cryuff Arena.

    Ajax, yang mendominasi perlawanan pada separuh masa pertama, tidak mampu bangkit daripada ketinggalan sementara pemenang Piala Eropah dua kali, Benfica, tidak sabar menantu keputusan undian suku akhir pada Jumaat.

    Selepas menyingkirkan Barcelona dalam peringkat kumpulan, mereka kini akan membuat penampilan dalam lapan pasukan terakhir buat kali pertama sejak 2016.

    Penyerang bintang Ajax, Sebastien Haller, berharap untuk menjaringkan gol ke lapan berturut-turut di Liga Juara-Juara pada musim ini selepas meledak 11 gol dalam tujuh penampilan pertama di kejohanan ini.

    Namun impiannya terkubur oleh penyerang berusia 22 tahun, Nunez selepas penyerang prolifik Benfica itu menemui gawang 26 kali dalam semua kejohanan sejak permulaan kempen.

    Ajax memenangi kesemua enam perlawanan dalam peringkat kumpulan sebelum dua kali mendahului Benfica di pusingan pertama yang berlangsung di Lisbon dan berkesudahan seri 2-2.

    Haller, yang mencetak 32 gol pada musim ini, berjaya menjaringkan gol dalam perlawanan lalu dan dia meledak gol pada minit ketujuh namun jaringan penyerang itu dibatalkan kerana Dusan Tadic berada dalam kedudukan ofsaid.

    Pasukan kendalian Erik ten Hag, yang menerajui kedudukan teratas liga Belanda, Eredivisie, dilihat bermain dengan cemerlang pada separuh masa pertama namun gagal menembusi gawang selepas percubaan voli Steven Berghuis tersasar. – AFP

    Aksi penyerang Benfica, Darwin Nunez menanduk masuk bola ke gawang semasa perlawanan di Liga Juara-Juara menentang Ajax, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gara-gara pelancong ‘biadab’, pemandangan Gunung Fuji disekat

    FUJIKAWAGUCHIKO, JEPUN, 3 MEI - Kerja-kerja telah dimulakan di sebuah pekan kecil Jepun untuk membina sekatan yang menghalang pemandangan pa-ling terkenal di negara itu,...