Sunday, May 5, 2024
23.4 C
Brunei

    -

    Berkenan buka rasmi Persidangan MMN ke-19

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar oleh Bahiyah Bakir & Infofoto

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 MAC – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, berkenan berangkat ke Istiadat Pembukaan Rasmi, Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-19 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) di Bangunan Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis.

    berkenan berangkat, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

    Pada majlis berkenaan, Baginda Sultan berkenan mengurniakan titah sebagai bermulanya Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-19 MMN.

    Terdahulu sebelum Istiadat Pembukaan Rasmi, Persidangan MMN bersidang untuk meneliti dan mengesahkan Minit Persidangan MMN, Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-18 MMN yang telah bersidang selama tujuh hari bermula 24 Februari hingga 3 Mac 2022.

    Persidangan kemudiannya ditangguhkan bagi Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-19 MMN.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah berangkat meninggalkan majlis.

    ATAS & BAWAH: DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota, DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara dan DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong semasa berkenan berangkat ke Istiadat Pembukaan Rasmi, Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-19 MMN, kelmarin.

    MMN Musim ke-19 dipengerusikan oleh Yang Dipertua MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib dan dibantu oleh Jurutulis MMN, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Haji Judin bin Haji Asar dan Timbalan Jurutulis MMN, Dayang Rose Aminah binti Haji Ismail.

    Ahli-ahli MMN seramai 34 orang terdiri daripada ahli rasmi kerana jawatan, orang-orang bergelar, orang-orang yang telah mencapai kecemerlangan dan wakil-wakil yang dilantik dari daerah-daerah Negara Brunei Darussalam.

    Persidangan MMN ke-19 akan membincangkan dan meluluskan perkara utama iaitu Rang Undang-Undang (2023) Perbekalan, 2023/2024, yang akan melalui tiga peringkat sebelum ia dapat diluluskan sepenuhnya dan diwartakan untuk dapat diguna pakai bermula 1 April 2023.

    Persidangan MMN akan bersidang semula pada 4 Mac bermula pukul 9:30 pagi.

    Orang ramai boleh mengikuti rakaman persidangan harian melalui saluran RTB Perdana dan RTB Sukmaindera pada pukul 9 malam bagi rakaman sesi pagi dan diikuti lagi pada pukul 10:40 malam bagi rakaman sesi petang.

    Di samping itu, laporan harian juga boleh dibaca melalui laman sesawang rasmi MMN, www.majlis-mesyuarat.gov.bn.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gara-gara pelancong ‘biadab’, pemandangan Gunung Fuji disekat

    FUJIKAWAGUCHIKO, JEPUN, 3 MEI - Kerja-kerja telah dimulakan di sebuah pekan kecil Jepun untuk membina sekatan yang menghalang pemandangan pa-ling terkenal di negara itu,...