Friday, November 8, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan ke Istiadat Barisan Kehormatan Hari Keputeraan

    Oleh Yusrin Junaidi
    Gambar oleh Infofoto

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JULAI – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan berangkat ke Istiadat Barisan Kehormatan bersempena Memperingati Hari Keputeraan Baginda ke-76 di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, hari ini.

    Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

    Keberangkatan Baginda Sultan dan kerabat diraja dijunjung oleh Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman

    Baginda Sultan kemudian berkenan menerima Tabik Hormat Diraja dan tembakan meriam sebanyak 21 das yang disempurnakan oleh anggota Polis Tentera Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) sebelum Baginda berkenan berangkat memeriksa pasukan-pasukan perbarisan.

    Acara diteruskan dengan pasukan-pasukan perbarisan dan panji-panji Kebawah Duli Yang Maha Mulia, panji-panji pasukan ABDB dan panji-panji diraja Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) berjalan lalu di depan Pentas Diraja dalam gerak perlahan dan cepat sebelum beratur semula yang diikuti dengan laungan tiga kali daulat untuk Baginda Sultan.

    Pasukan-pasukan perbarisan kemudian mara ke hadapan untuk diperhati semula, Tabik Hormat Diraja dan diikuti dengan terbang lalu pesawat-pesawat Tentera Udara Diraja Brunei.

    Seramai 6,000 orang anggota menyertai Istiadat Barisan Kehormatan sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, yang terdiri daripada ABDB, PPDB, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja

    Brunei, Jabatan Penjara, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan banyak lagi.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan memeriksa pasukan-pasukan perbarisan semasa Istiadat Barisan Kehormatan bersempena Memperingati Hari Keputeraan Baginda ke-76 di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, kelmarin.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan menerima Tabik Hormat Diraja.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen ketika berkenan berangkat ke Istiadat Barisan Kehormatan bersempena Memperingati Hari Keputeraan Baginda ke-76.
    ATAS & BAWAH: DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dn DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah berkenan menerima Tabik Hormat Diraja.

    Uniformed personnel chanting ‘Daulat Kebawah Duli Tuan Patik’ at the parade
    Orang ramai tidak ketinggalan menyaksikan upacara perbarisan sempena memperingati Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-76 tahun di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda