Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan melawat tiga buah sekolah

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 SEPT – Keprihatinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam terhadap perkembangan dan kemajuan pendidikan di Negara Brunei Darussalam dicerminkan semasa lawatan Baginda Sultan ke tiga buah institusi pendidikan sejurus menyempurnakan penganugerahan anak-anak kunci rumah di bawah Skim Perumahan Negara bagi Daerah Brunei dan Muara dan Daerah Tutong, kelmarin.

    Mengiringi keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.

    Semasa lawatan ke Sekolah Menengah Sayyidina Hasan (SMSH), Jalan Ban 5, Kampung Kilanas, Mukim Kilanas, Baginda Sultan berkenan menyempurnakan penanaman pokok durian pulu dan seterusnya melawat dan meninjau lebih dekat kelas Program Pra Vokasional, Learning Space dan juga beberapa buah makmal sains.

    Turut mengiringi sepanjang lawatan Baginda Sultan ke SMSH, ialah Pengetua SMSH, Awang Moss bin Mat Juni.

    Antara yang menjadi tarikan semasa lawatan Baginda Sultan adalah pameran-pameran terdiri daripada Bahagian Promosi Kesihatan, Galeri Kegemilangan Jubli Perak yang mengetengahkan karya sentuhan seni lukisan para pelajar BTEC Art & Design dan juga pameran Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG).

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan menyempurnakan penanaman pokok durian pulu semasa lawatan ke Sekolah Menengah Sayyidina Hasan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah gembira bertemu para pelajar semasa berkenan berangkat mengadakan lawatan ke tiga buah sekolah sejurus menyempurnakan penganugerahan anak-anak kunci rumah di bawah Skim Perumahan Negara bagi Daerah Brunei dan Muara dan Daerah Tutong, kelmarin. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    ATAS & BAWAH : Baginda Sultan berkenan berangkat melawat Sekolah Rendah Awang Haji Mohd Yusof. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Baginda Sultan berkenan berinteraksi bersama pelajar Sekolah Menengah Sayyidina Hasan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Baginda Sultan berkenan meninjau kelas pembelajaran murid-murid di Sekolah Rendah Sengkurong, Kluster 4. – GAMBAR OLEH INFOFOTO

    Persembahan perbarisan daripada pelajar Tahun 7 Hasanku juga antara penyeri suasana lawatan Baginda Sultan ke sekolah tersebut.

    SMSH ditubuhkan pada 9 Mei 1994 yang sebelumnya dikenali sebagai Sekolah Menengah Tanjong Bunut. Ia bertukar kepada nama sekarang pada 6 Julai 1995. Sekolah itu mempunyai 1,052 orang pelajar dari Tahun 7 hingga Tahun 11 dan mempunyai tenaga pengajar seramai 123 orang serta 18 orang kakitangan.

    Dari SMSH, Baginda Sultan berkenaan meneruskan lawatan tidak berjadual ke Sekolah Rendah Sengkurong, Kluster 4 dengan dijunjung oleh guru besar sekolah berkenaan, Dayang Rasyimah binti Haji Abang.

    Semasa lawatan tersebut, Baginda Sultan berkenan meninjau lebih dekat perpustakaan dan beberapa kelas pembelajaran murid-murid di sekolah berkenaan. Sekolah itu mempunyai 579 orang murid yang terdiri daripada 295 lelaki dan 284 perempuan.

    Seterusnya, Baginda Sultan berkenan mengadakan lawatan ke Sekolah Rendah Awang Haji Mohd Yusof, Kampung Katimahar. Keberangkatan Baginda Sultan dijunjung oleh Hajah Suarya binti Haji Ahmad selaku guru besar sekolah berkenaan.

    Di sekolah itu, Baginda Sultan berkenan melawat beberapa buah kelas dan sempat meninjau sesi pembelajaran murid Tahun 1 dan Tahun 2 serta menyaksikan kemudahan serta prasarana yang tersedia.

    Sekolah Rendah Awang Haji Mohd Yusof mula beroperasi pada 4 Januari 1959 dengan menggunakan bangunan sementara. Bangunan kekal mula dibina pada 20 Disember 1964 dan siap pada 18 Oktober 1965. Ianya mula digunakan sepenuhnya pada 15 November 1965.

    Sekolah itu menampung 309 orang pelajar bermula dari peringkat pra hingga Tahun 6 serta 35 orang tenaga pengajar dan juga 10 orang kakitangan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda