Tuesday, October 1, 2024
28.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bersama perkasa keperluan warga emas

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 SEPT – Warga emas merupakan aset yang sungguh bernilai kepada negara kerana golongan ini memiliki ilmu, pengetahuan dan kepakaran yang berharga.

    Oleh itu, Negara Brunei Darussalam akan menyambut Hari Antarabangsa Warga Emas (HAWE) yang ke-34 bagi negara-negara ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada setiap 1 Oktober.

    Tema untuk sambutan tahun ini ialah Meniti Usia dengan Bermaruah: Kepentingan Memperkukuh Sistem Penjagaan dan Sokongan untuk Warga Emas Seluruh Dunia.

    Dalam perutusan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad pada tahun lalu menyatakan bahawa warga emas di Negara Brunei Darussalam merangkumi 10.8 peratus (48,800 orang) daripada keseluruhan jumlah penduduk.

    Dari aspek sosial, warga emas berperanan utama dalam pengukuhan dan kestabilan keluarga, dan menjadi pengikat silaturahim di antara ahli keluarga manakala dari segi kebudayaan pula, warga emas menyampaikan nilai-nilai budaya dan tradisi kepada generasi seterusnya agar warisan tidak hilang ditelan zaman.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi. – GAMBAR FAIL SERAHAN JPM
    Gambar Canva

    “Kita amat bersyukur kerana kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan juga seluruh lapisan masyarakat sentiasa berganding bahu dalam memberikan pemedulian terhadap kebajikan dan kesejahteraan warga emas demi memastikan golongan ini dijaga, dipeduli dan diberikan penghormatan melalui pendekatan holistik dan bersepadu daripada pelbagai pihak.

    Setakat Ogos 2024, seramai 43,272 warga emas menerima pencen umur tua setiap bulan, dan daripada jumlah itu, seramai 825 warga emas menerima dua faedah, iaitu menerima pencen umur tua dan elaun kelainan upaya. Manakala, lebih kurang 350 warga emas juga menerima elaun penyedia penjagaan sebagai penjaga golongan penerima elaun kurang upaya,” jelas Yang Berhormat Dato.

    Yang Berhormat Dato juga berkata, tahun ini Negara Brunei Darussalam, melalui Majlis Kebangsaan Isu Sosial (MKIS) dan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, akan melancarkan Pelan tindakan Warga Emas: Ke Arah Penuaan yang Berjaya.

    Pelan tindakan tersebut menekankan kesejahteraan, perlindungan dan pemerkasaan warga emas yang dihasratkan untuk mencapai kemajuan dan inklusiviti golongan warga emas di tanah air.

    “Kita hendaklah sentiasa menyokong warga emas kita untuk sentiasa aktif dan giat menjalankan aktiviti sosial, keagamaan, sukan, keusahawanan dan juga pendidikan. Baru-baru ini, kita berbangga dengan kejayaan seorang graduan warga emas berumur 80 tahun yang telah mendapat Ijazah Sarjana Sains dalam Civil Engineering di Universiti Teknologi Brunei (UTB).

    Beliau menjadi teladan bagi warga emas yang lain dengan membuktikan bahawa umur bukanlah satu penghalang untuk seseorang itu terus berkembang dalam pembelajaran sepanjang hayat,” jelasnya lagi.

    Yang Berhormat Dato juga amat menghargai usaha-usaha daripada pelbagai pihak, termasuk agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO), keluarga, komuniti setempat dan sukarelawan ke arah meningkatkan sistem sokongan bagi warga emas.

    Antara program yang telah dilaksanakan adalah seperti Program Kesedaran Penyakit Demensia yang telah dan akan terus dikendalikan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan bersama Kementerian Kesihatan dan Demensia Brunei serta program-program penyelidikan dan peningkatan kesedaran di kalangan warga emas yang dijalankan oleh pihak Kementerian Kesihatan dengan Universiti Brunei Darussalam dan Projek Memeduli Warga Emas di bawah Jabatan Pembangunan Masyarakat dengan kerjasama Kementerian Kesihatan, persatuan-persatuan bukan Kerajaan dan para sukarelawan.

    Bermula pada tahun 2020, projek itu memeduli kesihatan dan kesejahteraan warga emas yang memerlukan, di samping menghulurkan bantuan secara langsung dan berterusan.

    Melalui projek itu, pihak kerajaan juga telah menghulurkan bantuan secara in-kind, iaitu berupa lampin pakai buang dan susu kepada golongan warga emas yang tertentu, menurut garis panduan yang ditetapkan.

    Setakat September 2024, seramai 46 warga emas telah menerima bantuan itu, yang mana pemberian ini dihantar secara langsung kepada penerima-penerima di kediaman masing-masing setiap bulan untuk juga memastikan kemaslahatan mereka.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda