Monday, September 16, 2024
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bertemu lembaga hitam, cabul di hutan

    Oleh Mera –

    Di zaman moden ini, mungkin tidak ramai yang percaya pada cerita-cerita yang berkaitan dengan roh-roh mahupun segala kejadian yang luar biasa dan menyeramkan.

    Kisah-kisah yang akan saya kongsikan ini hanyalah untuk pengetahuan sahaja.

    Terpulanglah kepada awda untuk mempercayainya ataupun tidak tetapi kisah sebegini mungkin pernah terjadi kepada diri awda walaupun situasinya berbeza, wallahua’lam.

    Kisah pertama ini telah terjadi kepada sepupu saya iaitu Zurin beberapa tahun lalu. Zurin selalunya akan bermalam di rumah kami sekiranya esok hari tidak ada persekolahan.

    Kebetulan hari itu Khamis iaitu malam Jumaat, kedua-dua ibu bapa saya tidak ada di rumah kerana menghadiri majlis kenduri arwah di rumah kawan beliau.

    Gambar Freepik
    Gambar Freepik

    Selepas sembahyang Fardu Maghrib, kami adik-beradik bercadang hendak pergi ke rumah nenek kami yang berada di seberang jalan untuk belajar mengaji.

    Begitulah kebiasaan kami pada setiap malam Jumaat iaitu belajar membaca Al-Quran dengan nenek. Kami bertanya pada Zurin sema ada dia mahu ikut ataupun tidak. Zurin cuma menggelengkan kepala. Katanya dia perlu menyiapkan kerja rumahnya yang agak banyak. Kami pada mulanya berasa bimbang jika Zurin hanya tinggal bersendirian di rumah itu.

    Tetapi atas desakan Zurin yang sungguh-sungguh supaya tak usah bimbang akan keselamatannya, membuatkan kami lega. Kami pun pergi meninggalkan Zurin tetapi sempat memberi amaran supaya mengunci pintu rumah dan menelefon kami jika ada apa-apa. Zurin cuma menganggukkan kepala.

    Setelah setengah jam berada di rumah itu bersendirian, Zurin tiba-tiba terdengar bunyi ketukan pada pintu dapur. Zurin menyangka bahawa kami telah pulang. Setelah membukanya, Zurin tidak nampak sesiapa pun di muka pintu tersebut.

    Zurin merasa hairan lalu terus menutup pintu itu dan menguncinya. Walau bagaimanapun, Zurin tidak sedikit pun berasa takut. Sebaliknya, dia terus menyambung kembali kerjanya.

    Setengah jam berlalu, kedengaran pintu dapur diketuk lagi.

    Tetapi kali ini agak kuat daripada yang sebelumnya. “Siapa tu?” Zurin bertanya dengan suara lantang. Tiada jawapan. Zurin lalu membuka pintu tersebut dan masih juga tidak ada sesiapa diluar. Zurin menyangka bahawa kami yang telah mempermainkannya lalu bersembunyi.

    “Oii kamu! Jangan tah menakutkan. Tau juaku kamu tu!” Zurin bersuara sambil tersenyum.

    Tetapi masih juga tidak ada respons. Zurin berasa hairan. Tiba-tiba, dia ternampak bahawa mungkin abang saya telah pulang awal sedang duduk di situ sambil merokok. Zurin pergi menghampiri ‘abang saya’ perlahan-lahan dengan niat ingin mengejutkannya.

    Tetapi apa yang ada di situ hanyalah makhluk hitam yang seakan menyerupai manusia.

    Zurin terus menjerit lalu pengsan dan mujur kami pulang awal dan kami mendapatinya terbaring dekat kerusi rehat tersebut.

    Setelah sedar daripada pengsan, Zurin terus menceritakan apa yang telah dialaminya. Pada mulanya kami tidak percaya tetapi setelah melihat sendiri apa yang kami jumpai dekat kerusi rehat tersebut membuatkan kami tergamam membisu.

    Sebatang rokok yang masih lagi berasap. Kata nenek saya, mungkin makhluk itu adalah Bauta (bahasa orang Brunei) dan Zurin dikira bernasib baik kerana makhluk itu tidak mengapa-apakannya.
    Wallahua’lam.

    ***

    Kisah seterusnya ini juga terjadi kepada sepupu lelaki saya, Daud.

    Satu malam, nenek saya meminta Daud menemaninya malam itu di rumahnya. Kebetulan datuk saya bekerja pada syif malam dan orang gajinya juga telah pulang bercuti ke negerinya selama tiga minggu.

    Dengan rasa hormat, Daud bersetuju. Malam semakin larut diikuti dengan hujan yang sangat lebat. Nenek saya sudah pun tidur di biliknya. Tetapi Daud pada mulanya berjaga untuk menonton TV di ruang tamu. Tiba-tiba, kedengaran bunyi seperti anjing menyalak.

    Daud pada mulanya tidak menghiraukannya tetapi setelah beberapa ketika, bunyi salakan itu semakin kuat seakan dekat dengan rumah nenek. Daud berasa kurang senang dengan bunyi tersebut.

    Dia berfikir mungkin ada pencuri yang sedang mencerobohi kawasan rumah nenek. Daud lalu pergi menuju ke jendela lalu melihat sekitar rumah nenek. Dia juga ternampak dua ekor anjing yang masih menyalak itu. Rupa-rupanya, anjing-anjing itu sedang menyalak pada sesuatu benda putih yang seakan-akan sedang melompat-lompat dekat sepohon pokok nona.

    Daud berpendapat mungkin dia tersalah lihat tetapi setelah meneliti, memang betul apa yang dilihatnya. Mayat putih ataupun lebih dikenali dengan hantu pocong sedang melompat-lompat tidak berapa jauh dari rumah nenek. Daud beristighfar banyak-banyak sambil membaca ayat Al-Kursi dan Surah Al-Fatihah. Daud terus tidur dalam keadaan ketakutan sehingga keesokan paginya.

    ***

    Peristiwa terakhir ini pula benar-benar terjadi kepada adik saya, Basri. Beberapa tahun yang lalu, Basri telah mengikut rombongan sekolah ke Kuala Belalong di Daerah Temburong. Kebetulan, peperiksaan Peringkat GCE O telah berakhir jadi dia berhajat untuk bergembira setelah perjuangan mereka menghadapi peperiksaan tersebut.

    Mereka yang mengikuti rombongan itu seramai 15 orang termasuk dua orang guru.

    Apabila sampai di tempat yang ditetapkan, mereka tidak berhajat untuk tidur di rumah tumpangan tetapi sebaliknya mereka bercadang untuk berkhemah di hutan.

    Sebelum hari semakin gelap, mereka telah memasang khemah masing-masing dan ada yang menyalakan unggun api. Ada yang menyanyi dan tidak kurang juga bercerita. Karim, iaitu kawan kepada Basri telah menceritakan tentang sebuah cerita seram mengenai sekumpulan remaja yang berkhemah di hutan.

    Basri dan yang lain pada mulanya kurang senang dengan ceritanya mengenangkan mereka juga sedang berada di hutan tetapi atas desakan salah seorang daripada kawan mereka, Karim, dia pun meneruskan ceritanya.

    Sedang asyik mereka berhibur, seorang daripada kawan mereka telah menegur bahawa dia ternampak sesuatu di atas pokok. Kesemua remaja itu menoleh ke atas pokok tersebut.

    Kelihatan seorang perempuan berbaju putih sedang duduk di atas dahan pokok tersebut.

    Mereka semua ketakutan lalu berlari lintang pukang meninggalkan hutan tersebut.

    Setelah habis Karim bercerita, mereka semua yang ada di situ ketakutan dan ada juga yang berkata bahawa tidak patut remaja tadi menegur apa yang dilihatnya pada malam hari apatah lagi di hutan tebal. Basri dan yang lain hanya mengganguk tanda setuju. Tiba-tiba Karim berkata sesuatu sambil menunjuk keatas, “Eh kamu! Cuba kamu lihat tu!”

    Mereka semua sangat ketakutan lalu menundukkan kepala apabila Karim berkata demikian. Ada yang menangis, menutup mata dan tidak kurang juga memarahi.

    “Eh cabul jua kau ani eh! Jangan tunjuk bah!” Basri memarahi Karim. Semua yang ada di situ turut memarahi Karim.

    “Penakut jua kamu ani eh! Aku menyuruh kamu melihat bintang di atas atu. Bisai banar!” ujar Karim sambil ketawa.

    Barulah mereka yang ada di situ berani mengangkatkan kepala dan mendongak ke atas lalu masing-masing berderai ketawa kerana terlampau penakut. Sedang asyik mereka ketawa, kedengaran nun jauh di hutan tersebut hilaian ketawa seorang perempuan yang agak mengerikan. Basri dan yang lain saling memandang sesama sendiri dan masing-masing menunjukkan mimik muka yang tidak dapat kita bayangkan sekarang ini. Wallahua’lam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda