Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Jan – Penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung kawasan Mukim Berakas ‘A’ dan Berakas ‘B’ dalam Zon I telah mengadakan Sesi Muzakarah Zon I bersama Yang Berhormat Pengiran Haji Ali bin Pengiran Maon bagi membincangkan isu-isu yang akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Negara (MMN) 2017 nanti.
Sesi muzakarah yang diadakan di Tingkat 4, Jabatan Daerah Brunei dan Muara itu juga dihasratkan sebagai wadah perkongsian maklumat perkembangan kampung dan mendengarkan permasalahan yang ada dalam menyokong Wawasan Brunei 2035.
Yang Berhormat Pengiran Haji Ali ketika ditemu bual Media Permata berkata, “Alhamdulillah, sesi muzakarah ini merupakan satu perjumpaan antara penghulu Mukim Berakas ‘A’ dan Berakas ‘B’ dalam Zon I antaranya untuk mendengar, menerima pandangan, cadangan permasalahan yang ada sebagai persediaan awal untuk dibawa nanti ke Persidangan MMN nanti.”
Dalam sesi muzakarah berkenaan, Yang Berhormat Pengiran Haji Ali juga menyentuh mengenai kepentingan kerjasama antara ketua-ketua kampung dan penghulu-penghulu mukim berkenaan dalam mengukuhkan lagi kualiti mukim agar lebih efisien, efektif dan bersiap siaga dalam menghadapi sebarang cabaran masa kini dan akan datang.
Selain itu, sesi muzakarah ini juga membincangkan isu-isu yang perlu diberikan perhatian seperti pendidikan, pembangunan, infrastruktur, ekonomi, isu-isu sosial dan kemasyarakatan dan tidak ketinggalan juga keselamatan dan kemiskinan.