Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bunga hutan petanda maut

    Oleh Amy –

    Haji Ramli bekerja sebagai juruteknik di sebuah asrama sekolah berhampiran bandar di ibu negara sejak usianya 20 tahun sehinggalah umurnya mencapai 46 tahun.

    Tugas utamanya ialah membaiki kerosakkan peralatan elektrikal selain sebagai pembantu am. Sekolah itu berhampiran dengan kawasan hutan dan bukit, kawasan sekitarnya pula akan menjadi agak sunyi menjelang waktu malam, pekerja am di sekolah tersebut ada enam orang semuanya iaitu tiga lelaki dan tiga perempuan dan salah seorang pekerja perempuan berasal dari Indonesia.

    Pekerja dari Indonesia itu baru bekerja kira-kira tiga bulan. Sebelum ini, dia bekerja sebagai pembantu rumah dan dia diambil bekerja oleh sebuah syarikat yang mengambil kontrak membersih setelah kontrak dengan majikan lama sudah tamat.

    Di sekolah itu, terdapat sebuah taman kecil yang ditanam pokok-pokok bunga dan sebelum ini dijaga oleh seorang pekerja perempuan yang sudah pencen. Taman itu seluas gelanggang badminton sebelum itu terdapat banyak pokok-pokok bunga.

    Sepanjang Haji Ramli bekerja di sekolah tersebut matanya sering terpandang sebatang pokok bunga yang tumbuh renek, batangnya berwarna hijau kelabu dan dari dahan kecilnya bercabang ranting menerbitkan daun yang tirus berwarna hijau berbunga.

    Gambar Freepik

    Pernah juga Haji Ramli bertanya kepada bekas tukang kebun itu nama pokok bunga tersebut namun hanya diberitahu ia memperolehi dari hutan belakang sekolah.

    Setelah tukang kebun itu pencen, taman itu semakin tidak terurus ke-rana sudah agak lama terbiar. Tetapi hanya pokok pelik itu sahaja yang kelihatan bersih dan terjaga seperti ada orang yang menjaganya.

    Selepas beberapa bulan, pekerja dari Indonesia itu kini mengambil alih menjaga taman kecil itu. Kawasan taman itu kembali bersih dan terjaga. Suatu hari, semasa Haji Ramli melalui kawasan taman kecil, dia tiba-tiba terhidu bau harum.

    Keharumannya umpama bunga cempaka dan bunga tanjung, tetapi ini kali pertama dia terhidu bau haruman bunga yang begitu wangi. Setelah diselidik, dia mendapati wangian itu datangnya daripada pokok bunga tersebut. Oleh kerana sangat tertarik, Haji Ramli memetik sekuntum bunga daripada pokok itu.

    Setelah meninggalkan taman tersebut, barulah Haji Ramli teringat untuk bertanya kepada tukang kebun tersebut nama pokok itu. Tetapi hasrat untuk bertanya tidak kesampaian kerana tiba-tiba dipanggil oleh guru yang meminta tolong membaiki suiz lampu yang terbakar.

    Ketika hendak pulang, Haji Ramli meletakkan bunga yang dipetiknya tadi di dalam kereta dan mendapati keretanya berbau harum.

    Sampainya dirumah, hatinya masih diselubungi rasa hairan dengan pokok bunga itu.

    Sehingga waktu tidur pun Haji Ramli masih teringat keanehan pokok bunga itu. Ketika sedang tidur, dalam mimpinya Haji Ramli didatangi oleh seorang wanita tua yang jalannya bongkok memegang sebatang tongkat tetapi wajahnya tidak kelihatan kerana terlindung oleh kain selubungnya yang berwarna putih.

    Perempuan tua itu berpesan supaya menjaga dan tidak merosakkan pokok bunga itu.

    Keesokkan harinya, Haji Ramli ingin segera sampai ke sekolah dan terus menuju ke taman kecil di mana pokok bunga hutan itu ditanam. Alangkah terkejutnya, dia melihat pokok bunga hutan itu telah dipotong. Haji Ramli pasti pokok itu dipotong oleh tukang kebun Indonesia dan segera mencari-nya tetapi gagal. Dia bertanya pada seorang pekerja am yang lain tetapi diberitahu, tukang kebun Indonesia itu telah dihantar ke klinik kerana tiba-tiba sakit.

    Hatinya kecewa lantas menuju ke bengkelnya sambil termenung memikirkan mimpinya semalam dan pokok bunga hutan itu.

    Ketika dia sedang membaiki peralatan sekolah tiba-tiba datang seseorang memberitahu bahawa tukang kebun Indonesia itu telah meninggal dunia secara mengejut. Haji Ramli seperti tidak percaya dengan berita tersebut tetapi mula meyakini bahawa mungkin kematiannya ada kaitan dengan mimpi yang dialaminya malam tadi. Tetapi hasratnya untuk menjaga pokok bunga misteri seperti yang diharapkan dalam mimpinya gagal disempurnakan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda