MANCHESTER, 4 NOV – Jaringan Moises Caicedo menafikan kemenangan Manchester United dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris pertama mereka sejak pemecatan Erik ten Hag ketika Chelsea terikat seri 1-1 di Old Trafford kelmarin.
Pengurus sementara, Ruud van Nistelrooy, yang akan digantikan oleh Ruben Amorim akhir bulan ini, berlari di sepanjang tepi padang untuk meraikan gol selepas Bruno Fernandes meletakkan United di depan menerusi sepakan penalti 20 minit sebelum perlawanan tamat.
Caicedo pantas menjaringkan gol penyamaan untuk The Blues, yang kini mengatasi Arsenal dengan perbezaan gol dan menduduki tempat keempat dalam carta liga.
Keputusan seri ini menyaksikan United masih ketinggalan di tangga ke-13, enam mata di belakang empat pasukan teratas.
Pemerolehan 12 mata daripada 10 perlawanan adalah permulaan liga terburuk Manchester United sejak musim 1986/87.
Amorim tidak hadir pada perlawanan tersebut kerana bersiap sedia untuk mengendalikan Sporting Lisbon dalam salah perlawanan terakhirnya menentang Manchester City dalam Liga Juara-Juara pada Selasa.
United bermain dengan lebih kompetitif berbanding kekalahan 3-0 mereka sebelum ini kepada Liverpool dan Tottenham di laman sendiri musim ini, tetapi masih menunjukkan banyak kelemahan yang sama, yang akhirnya menyebabkan Ten Hag kehilangan tugasnya.
Van Nistelrooy menikmati kemenangan besar 5-2 ke atas Leicester yang kekurangan permain dalam perlawanan pertamanya sebagai pengurus untuk melayakkan diri ke suku akhir Piala Liga pada pertengahan minggu.
Masih dianggap sebagai wira dalam kalangan penyokong United sejak zaman kegemilangannya sebagai penyerang prolifik, nama pemain Belanda itu menjadi sorakan dalam suasana riuh sebelum perlawanan.
Bagaimanapun, Chelsea yang hanya tewas sekali dalam sembilan perlawanan Liga Perdana Inggeris, memberikan ujian yang jauh lebih sukar kepada pasukan United yang masih kekurangan keyakinan. – AFP