Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Chiesa sertai Liverpool

    LIVERPOOL, 30 OGOS – Federico Chiesa sertai Liverpool dari Juventus kelmarin dalam perjanjian yang dilaporkan bernilai £12.5 juta untuk pemain antarabangsa Itali itu, yang sering dibelenggu oleh kecederaan.

    Pemain berusia 26 tahun itu telah menandatangani kontrak selama empat tahun dengan bayaran awal £10 juta dengan tambahan £2.5 juta bergantung kepada prestasi pasukan semasa berada di Anfield.

    Chiesa merupakan salah seorang bintang bola sepak Eropah yang semakin meningkat selepas peranannya membantu Itali memenangi Euro 2020.

    Tetapi kerjayanya telah terganggu oleh kecederaan ligamen cruciate yang dialaminya pada Januari 2022 dan beberapa masalah kecergasan sejak itu. “Saya terus bersetuju kerana saya tahu sejarah kelab ini, saya tahu apa yang diwakilinya kepada para penyokong,” kata Chiesa dalam satu kenyataan kelab.

    “Saya sangat gembira dan saya tidak sabar untuk bermula.”

    Kehadirannya menambahkan lagi kekuatan kepada barisan hadapan Liverpool yang sudah pun mempunyai Mohamed Salah, Diogo Jota, Luis Diaz, Darwin Nunez dan Cody Gakpo.

    Chiesa telah memasuki tahun terakhir kontraknya bersama gergasi Itali itu dan tidak dipilih untuk dua perlawanan pertama oleh jurulatih baharu Juventus, Thiago Motta. Dia menjadi pemain kedua Liverpool dalam jendela perpindahan dan yang pertama masuk ke dalam skuad Arne Slot untuk musim ini. – AFP

    Aksi Chiesa semasa kejohanan bola sepak Euro 2024 di Dortmund, Jerman pada 15 Jun lalu. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda