Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    China rayu WTO campur tangan isu tarif EV EU

    BEIJING, 9 OGOS – China telah memfailkan rayuan kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) hari ini, berhubung keputusan Kesatuan Eropah (EU) mengenakan tarif tambahan ke atas import kenderaan elektrik (EV) dari negara itu.

    Pada Julai lalu, EU mengenakan duti sementara sehingga 38 peratus ke atas EV dari China selepas siasatan badan eksekutifnya mendapati kenderaan tersebut telah menjejaskan persaingan syarikat automotif Eropah secara tidak adil.

    “Pada 9 Ogos, China telah merayu kepada mekanisme penyelesaian pertikaian WTO berhubung langkah anti-subsidi sementara EU ke atas EV,” kata jurucakap Kementerian Perdagangan China dalam satu kenyataan.

    Kementerian itu menyatakan rayuan tersebut bertujuan untuk mempertahankan hak dan kepentingan pembangunan industri kenderaan elektrik serta mengukuhkan kerjasama dalam transformasi hijau global.

    “Kami mendapati bahawa keputusan awal EU tidak berlandaskan fakta dan undang-undang yang kukuh, melanggar peraturan WTO dan menjejas situasi keseluruhan kerjasama global dalam menangani perubahan iklim,” menurut kenyataan itu.

    China turut menggesa EU supaya segera memperbetulkan amalan salah tersebut dan bekerjasama untuk mengekalkan kestabilan kerjasama ekonomi dan perdagangan antara China dan EU, termasuk rantaian industri dan bekalan EV.

    Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, China dan EU sering bertelagah mengenai pelbagai isu termasuk perdagangan, teknologi, hak asasi manusia dan keselamatan negara. – AFP

    Gambar Xinhua
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda