Wednesday, September 18, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Colombia tebus kekalahan final Copa America

    MONTEVIDEO, 11 SEPT – James Rodriguez meledak gol kemenangan menerusi sepakan penalti ketika Colombia menebus kekalahan final Copa America mereka dengan kemenangan 2-1 ke atas Argentina dalam kelayakan Amerika Selatan untuk Piala Dunia 2026, kelmarin.

    Kapten Colombia, Rodriguez menyempurnakan sepakan penalti minit ke-60 untuk menewaskan juara dunia itu, yang turun tanpa Lionel Messi selepas kaptennya belum pulih daripada kecederaan.

    Colombia tewas 1-0 kepada Argentina ketika final Copa America di Miami pada Julai lalu.

    Kemenangan di Stadium Metroplitano itu melonjak Colombia ke tangga kedua kumpulan kelayakan Amerika Selatan pada 16 mata daripada lapan perlawanan, hanya dua mata di belakang pendahulu, Argentina.

    Colombia mendahului permainan pada minit ke-25 menerusi Yerson Mosquera yang menanduk masuk hantaran Rodriguez.

    Rodriguez dan Enzo Fernandez berebut bola semasa perlawanan bola sepak kelayakan Piala Dunia FIFA 2026 Amerika Selatan antara Colombia dan Argentina pada 10 September. – AFP

    Dengan Rodriguez mengawal bahagian tengah dan Luis Diaz yang pantas memberi ancaman di bahagian sayap, Colombia mendominasi separuh masa pertama ketika menentang Argentina.

    Namun tiga minit selepas rehat, Argentina menyamakan kedudukan selepas Nicolas Gonzalez memintas hantaran lemah Rodriguez dan menewaskan penjaga gol Colombia, Camilo Vargas.

    Dua belas minit kemudian, tuan rumah kembali di depan selepas Nicolas Otamendi mengasari Daniel Munoz, namun penalti hanya diberikan beberapa minit kemudian apabila pengadil merujuk ulang tayang VAR.

    Rodriguez mengambil sepakan penalti menentang pakar penalti Argentina, Emiliano Martinez dan dengan yakin menjaringkan gol, menghantar penjaga gol tersebut ke arah yang salah.

    Penyerang Colombia, Jhon Duran, terlepas peluang besar untuk menjadikan kedudukan 3-1 apabila dia ditemui tanpa kawalan di tengah kotak penalti, tetapi sepakannya terus ke arah Emiliano Martinez. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda