Friday, November 29, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    COP16 gagal capai kesepakatan

    PARIS, 28 NOV – Rundingan penting Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk mencari dana bagi mengekang kemusnahan alam semula jadi akan disambung semula di Rom pada Februari, selepas rundingan awal bulan ini di Colombia berakhir tanpa sebarang kesepakatan, menurut kenyataan PBB hari ini.

    Sidang kemuncak terbesar mengenai biodiversiti setakat ini dikenali sebagai rundingan COP16 di Cali, Colombia, bertujuan unutk meningkatkan usaha melindungi alam semula jadi daripada penebangan hutan, eksploitasi berlebihan, perubahan iklim dan pencemaran.

    Bagaimanapun, mesyuarat itu, yang berlangsung sehingga lewat malam pada 2 November, berakhir tanpa persetujuan mengenai pelan tindakan untuk meningkatkan pembiayaan bagi perlindungan spesies. Kebanyakan perwakilan telah pulang ke negara masing-masing pada ketika itu, menyebabkan presiden COP16 dari Colombia gagal mencapai kuorum.

    Rundingan baharu akan diadakan di ibu pejabat Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB (FAO) dari 25 hingga 27 Februari bagi membincangkan isu-isu ‘yang tidak diselesaikan selepas penangguhan mesyuarat’, menurut kenyataan PBB.

    “Pada minggu-minggu mendatang, dan semasa mesyuarat di Rom pada Februari ini, saya akan bekerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan untuk membina kepercayaan dan kesepakatan yang diperlukan untuk mencapai Keamanan dengan Alam Semula Jadi,” kata Menteri Alam Sekitar Colombia, Susana Muhamad selaku Presiden COP16.

    Beliau menambah, “mencapai persetujuan kewangan utama akan menjadi teras kepada usaha kami”.

    Kewangan telah menjadi isu yang amat mencabar dalam rundingan alam sekitar PBB baru-baru ini, ketika negara-negara lain menghadapi ketidaktentuan politik dan ekonomi global. – AFP

    Susana Muhamad (tengah) ketika menghadiri sesi pleno terakhir Sidang Kemuncak COP16 di Cali, Colombia pada 2 November. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda