Friday, May 3, 2024
23 C
Brunei

    -

    Cuba minta bantuan kawal kebakaran depoh

    HAVANA, 7 OGOS – Cuba meminta bantuan untuk mengawal kebakaran besar-besaran di depoh bahan api, yang dicetuskan oleh panahan petir, menyebabkan sekurang-kurangnya seorang maut, 121 cedera dan 17 anggota bomba hilang.

    Kira-kira 1,900 orang telah dipindahkan dari kawasan itu, menurut Mario Sabines Lorenzo, gabenor wilayah Matanzas barat, di mana kilat menyambar sebuah tangki minyak pada Jumaat sekali gus mencetuskan kebakaran tanpa terkawal itu.

    Lima orang cedera parah, menurut akhbar rasmi Granma, dengan 15 yang lain dalam keadaan yang sangat serius atau sedang dirawat di hospital. Mangsa yang cedera termasuk Menteri Tenaga Livan Arronte.

    Pejabat Presiden Cuba berkata, 17 anggota bomba hilang dan mereka ‘yang paling hampir’ dengan kebakaran di zon perindustrian Matanzas, sebuah bandar kira-kira 100 kilometer di timur Havana.

    “Cuba meminta bantuan dan nasihat daripada negara sahabat yang berpengalaman dalam bahan api untuk membantu memadamkan kebakaran,” kata presiden itu dalam satu kenyataan.

    Awal pagi semalam, api telah merebak ke tangki kedua, menghantar kepulan asap hitam yang besar ke langit.

    Helikopter bekerja keras memadam kebakaran semalam, dengan ambulans, tangki air dan kren dihantar ke tempat kejadian.

    Anggota bomba yang keletihan berkumpul di loji, menunggu untuk masuk untuk mencari rakan seperjuangan mereka yang nampaknya tidak dapat melarikan diri daripada letupan kedua.

    “Kami merasakan letupan itu, seperti gelombang kejutan yang menolak awda ke belakang,” Laura Martinez, seorang penduduk La Ganadera, berhampiran zon bencana, memberitahu AFP. – AFP

    Sebuah helikopter membawa air terbang di atas Pusat Supertanker Matanzas, ketika anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran di Matanzas, Cuba pada 6 Ogos 2022. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Parlimen Korea S luluskan siasatan baharu insiden kematian Marin

    SEOUL, 2 MEI - Parlimen Korea Selatan hari ini meluluskan rang undang-undang untuk mengadakan siasatan baharu ke atas kematian orang ramai semasa Halloween 2022...