Sunday, May 5, 2024
23.4 C
Brunei

    -

    Djokovic harap segera kembali beraksi

    MELBOURNE, 30 JAN – Juara baharu Terbuka Australia, Novak Djokovic hari ini berkata dia berharap untuk kembali beraksi dalam masa sebulan tetapi ‘tidak pasti’ berapa lama kecederaan hamstringnya akan pulih.

    Pemain Serbia itu juga mendedahkan bahawa dia tidak mempunyai masa untuk meraikan kejayaan setelah memenangi kejuaraan Melbourne ke-10 yang menambah rekod kemenangannya kelmarin.

    Kemenangannya 6-3, 7-6 (7/4), 7-6 (7/5) ke atas Stefanos Tsitsipas menyaksikan Djokovic menyamai rekod Rafael Nadal dalam 22 kemenangan kejohanan Grand Slam untuk meletakannya kembali ke ranking nombor satu dunia.

    Djokovic mengalami masalah sepan-jang kejohanan disebabkan kecederaan hamstring kaki kirinya, walaupun ia bertambah baik ketika perlawanan Grand Slam itu berlangsung.

    Ketika pemain berusia 35 tahun itu mengarak Piala Cabaran Norman Brookes di sekitar taman Rumah Kerajaan di Melbourne hari ini untuk sesi bergambar, dia ditanya oleh AFP bagaimana keadaan kakinya dan bila dia boleh bermain semula.

    Novak Djokovic bergambar bersama piala yang dimenanginya. – AP

    “Saya tidak pasti, saya akan melakukan beberapa pemeriksaan kesihatan dalam beberapa hari akan datang,” jawabnya. “Kemudian saya akan dapat bercakap mengenainya dan memahami keadaan dengan lebih lanjut.”

    Djokovic megalami kecederaan hamstringnya sebelum Terbuka Australia, setelah memenangi acara pemanas badan di Adelaide Park, Melbourne, terutamanya pada pusingan awal.

    “Seperti yang berlaku hari ini saya masih mendaftar masuk untuk kejohanan Dubai yang bakal berlangsung dalam masa sebulan. Saya harap saya akan dapat kembali ke gelanggang dalam masa beberapa minggu lagi,” katanya.

    “Mari kita lihat, awda tahu, saya akan bercakap dengan pasukan perubatan dan kemudian mempertimbangkannya dari sana,” tambahnya.

    Jurulatih Djokovic, Goran Ivanisevic, berkata kebanyakan pemain tidak akan bermain selepas imbasan pra-kejohanan menunjukkan tahap kecederaan hamstring. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gara-gara pelancong ‘biadab’, pemandangan Gunung Fuji disekat

    FUJIKAWAGUCHIKO, JEPUN, 3 MEI - Kerja-kerja telah dimulakan di sebuah pekan kecil Jepun untuk membina sekatan yang menghalang pemandangan pa-ling terkenal di negara itu,...