Saturday, May 18, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    AI bakal ganti artis sebenar?

    NEW YORK — Kebanyakan artis telah mengambil inspirasi daripada ‘The Starry Night’ sejak Vincent Van Gogh melukis corak pusaran pada tahun 1889.

    Kini, sistem kecerdasan buatan (AI) melakukan perkara yang sama, melatih ‘dirinya sendiri’ menilai koleksi besar karya seni digital untuk menghasilkan imej baharu yang boleh awda bayangkan dalam masa beberapa saat melalui aplikasi telefon pintar.

    Imej yang dihasilkan oleh aplikasi seperti DALL-E, Midjourney dan Stable Diffusion kadangkala nampak pelik dan lain daripada yang lain namun semakin realistik dan boleh disesuaikan – minta ‘burung merak dalam gaya Van Gogh’ dan ia boleh menghasilkan sesuatu yang mungkin kelihatan serupa seperti apa yang awda bayangkan.

    Walaupun Van Gogh dan pelukis utama lain yang sudah lama mati tidak mengeluh, beberapa artis dan jurugambar yang masih hidup mula melawan balik syarikat perisian AI yang mencipta imej yang diperoleh daripada karya mereka.

    Dua saman baharu, satu pada minggu ini daripada gergasi fotografi yang berpangkalan di Seattle, Getty Images, menyasarkan perkhidmatan penjanaan imej yang popular kerana didakwa menyalin dan memproses berjuta-juta imej yang dilindungi hak cipta tanpa lesen.

    Anadol menerangkan hasil karyanya di Pusat Kongres Davos, Switzerland, baru-baru ini. – AP
    Para pengunjung melihat karya ‘Unsupervised’ milik Anadol di Muzium Seni Moden, baru-baru ini. – AP
    Anadol bergambar di hadapan hasil karyanya di Pusat Kongres Davos, Switzerland, baru-baru ini. – AP
    Seorang pengunjung melihat karya ‘Unsupervised’ milik Anadol di Muzium Seni Moden, baru-baru ini. – AP
    Para pengunjung melihat karya ‘Unsupervised’ milik Anadol di Muzium Seni Moden, baru-baru ini. – AP

    Getty berkata ia telah memulakan prosiding undang-undang di Mahkamah Tinggi di London terhadap Stability AI, pembuat Stable Diffusion kerana melanggar hak harta intelek untuk memanfaatkan kepentingan komersial syarikat startup yang berpangkalan di London itu.

    Satu lagi tuntutan mahkamah yang difailkan di mahkamah persekutuan Amerika Syarikat (AS) di San Francisco menggambarkan penjana imej AI sebagai ‘alat kolaj abad ke-21 yang melanggar hak berjuta-juta artis’. Tuntutan itu, yang difailkan oleh tiga artis juga menamakan Stability AI sebagai defendan, bersama-sama dengan syarikat startup penjana imej yang berpangkalan di San Francisco, Midjourney, dan galeri dalam talian DeviantArt.

    Menurut tuntutan itu, imej yang dijana AI “bersaing di pasaran dengan imej asal. Sehingga kini, apabila pembeli mencari imej baharu ‘mengikut gaya’ artis tertentu, mereka mesti membayar komisen atau melesenkan imej asal daripada artis itu.”

    Perkhidmatan berbayar

    Syarikat yang menyediakan perkhidmatan penjanaan imej biasanya mengenakan bayaran kepada pengguna. Selepas tamat tempoh percubaan percuma, Midjourney melalui aplikasi perbualan Discord, sebagai contoh, pengguna mesti membeli langganan yang bermula pada AS$10 sebulan atau sehingga AS$600 setahun untuk keahlian korporat. Syarikat startup, OpenAI juga mengenakan bayaran untuk penggunaan penjana imej, DALL-E, dan Stability AI menawarkan perkhidmatan berbayar yang dipanggil DreamStudio.

    Stability AI berkata dalam satu kenyataan bahawa “Sesiapa yang percaya bahawa ini bukan penggunaan yang adil bermakna dia tidak memahami teknologi dan salah faham mengenai undang-undang.”

    Dalam temu bual pada Disember lalu dengan The Associated Press, sebelum tuntutan mahkamah difailkan, Ketua Pegawai Eksekutif Midjourney, David Holz menyifatkan perkhidmatan langganan pembuatan imejnya sebagai ‘seperti enjin carian’ yang menarik banyak imej dari seluruh internet. Beliau membandingkan kebimbangan hak cipta tentang teknologi berkenaan dengan bagaimana undang-undang tersebut telah disesuaikan dengan kreativiti manusia.

    “Bolehkah seseorang dibenarkan melihat gambar orang lain dan belajar daripadanya kemudian menghasilkan gambar yang serupa?” Holz berkata. “Jelas sekali, ia dibenarkan untuk orang ramai dan jika tidak, maka ia akan memusnahkan keseluruhan industri seni profesional, mungkin juga industri bukan profesional. Begitu juga seperti AI yang sedang belajar seperti manusia, ia adalah perkara yang sama dan jika imej yang dihasilkan nampak berbeza, maka nampaknya ia tidak mengapa.”

    Bimbang salah guna

    Pertikaian hak cipta merupakan permulaan reaksi negatif terhadap generasi baharu aplikasi berkenaan, sebahagian daripadanya diperkenalkan hanya tahun lepas, yang mampu menjana imej baharu, teks yang boleh dibaca dan kod komputer.

    Ia juga menimbulkan kebimbangan yang lebih luas mengenai kecenderungan aplikasi AI untuk menggandakan maklumat yang salah atau menyebabkan bahaya lain. Untuk penjana imej AI, ia termasuk penciptaan imej seksual tanpa persetujuan.

    Sesetengah sistem menghasilkan imej fotorealistik yang mustahil untuk dikesan, menjadikannya sukar untuk membezakan antara imej sebenar dan imej AI. Walaupun kebanyakan sistem mempunyai beberapa perlindungan untuk menyekat kandungan yang menyinggung perasaan atau berbahaya, pakar berkata ia tidak mencukupi dan bimbang orang yang berniat jahat akan menggunakan alat itu untuk menyebarkan maklumat yang salah dan seterusnya menghakis kepercayaan orang awam.

    “Sebaik sahaja kita kehilangan keupayaan untuk membezakan apa yang sebenar dan apa yang palsu, segala-galanya akan tiba-tiba menjadi palsu kerana awda akan hilang keyakinan terhadap apa sahaja dan segala-galanya,” kata Wael Abd-Almageed, seorang profesor kejuruteraan elektrik dan komputer di Universiti Southern California.

    Sebagai ujian, The Associated Press memberikan arahan teks kepada Stable Diffusion yang memaparkan kata kunci ‘Perang Ukraine’ dan ‘Getty Images’. Aplikasi tersebut menghasilkan imej seperti gambar tentera dalam pertempuran dengan muka dan tangan yang senget, membawa dan mengacu senjata api. Beberapa imej juga memaparkan tera air Getty, tetapi dengan teks yang bercelaru.

    AI juga boleh membuat kesilapan, seperti kaki dan jari atau butiran pada telinga yang kadangkala boleh menunjukkan bahawa ia tidak nyata. Dan petunjuk visual itu juga boleh disunting. Di Midjourney, sebagai contoh, pengguna sering bertanyakan di Discord mengenai cara membetulkan muka dan tangan yang herot.

    Dengan sesetengah imej yang dijana diedarkan dalam rangkaian sosial dan berpotensi menjadi tular, ia agak mencabar untuk dibongkar kerana ia tidak dapat dikesan dari alat atau sumber data yang mana ia dihasilkan, menurut Chirag Shah, seorang profesor di Sekolah Maklumat di Universiti Washington, yang menggunakan alat ini untuk penyelidikan.

    “Awda boleh membuat beberapa tekaan jika awda mempunyai cukup pengalaman bekerja dengan aplikasi ini,” kata Shah. “Tetapi selain daripada itu, tidak ada cara mudah atau saintifik untuk benar-benar melakukannya.”

    AI akan kekal dalam dunia seni

    Namun, di sebalik reaksi negatif, terdapat ramai orang yang menyambut baik aplikasi baharu AI dan kreativiti yang ia hasilkan. Carian di Midjourney, misalnya, menunjukkan pengguna yang ingin tahu menggunakan aplikasi tersebut sebagai hobi untuk mencipta landskap, potret dan seni yang rumit.

    “Tak dinafikan terdapat rasa takut, tetapi apa yang dapat kita lakukan?” tanya artis, Refik Anadol baru-baru ini di Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland, di mana dia mempamerkan pameran karya yang dijana oleh aplikasi AI.

    Di Muzium Seni Moden di New York, Anadol mereka bentuk ‘Unsupervised’, yang diambil daripada karya seni dalam koleksi berprestij muzium itu termasuk ‘The Starry Night’ dan memasukkannya ke dalam alat digital yang menjana animasi warna dan bentuk yang memukau di lobi muzium.

    Alat itu “sentiasa berubah, berkembang dan mengimpikan 138,000 karya seni lama di Arkib MoMA,” kata Anadol.

    “Dari Van Gogh ke Picasso ke Kandinsky, artis luar biasa yang memberi inspirasi yang men-definisikan dan mempelopori teknik berbeza wujud dalam karya seni ini, dalam dunia impian AI ini.”

    Bagi pelukis seperti Erin Hanson, yang landskap impresionisnya sangat popular dan mudah ditemui dalam talian sehingga dia telah melihat pengaruh AI dalam visual yang dihasilkan, dia tidak bimbang mengenai hasil prolifiknya sendiri, yang bernilai AS$3 juta setahun.

    Dia, bagaimanapun, bimbang tentang komuniti seni secara keseluruhan.

    “Artis asal perlu diperakui dalam beberapa cara atau diberi pampasan,” kata Hanson.
    “Itulah maksud undang-undang hak cipta. Dan jika artis tidak diiktiraf, maka ia akan menyukarkan artis untuk mencari rezeki pada masa hadapan.” – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    7 maut dalam banjir kilat di Iran

    TEHRAN, 17 Mei – Sekurang-kurangnya tujuh orang maut dalam banjir kilat susulan hujan lebat di bandar Mashhad di timur laut Iran, lapor agensi berita...