Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dua mayat dalam longkang, polis tahan warga asing

    ALOR SETAR, 20 OGOS – Polis menahan seorang lelaki warga asing kerana disyaki membunuh isteri dan anak perempuannya yang mayat mangsa ditemukan di dalam longkang di belakang sebuah bangunan terbiar berdekatan Pekan Simpang Kuala, Alor Setar, Kedah kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Siti Nor Salawati Saad berkata pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan mayat seorang kanak-kanak perempuan dan seorang wanita itu oleh orang awam pada jam 5.04 petang.

    “Siasatan mendapati kedua-dua mangsa yang berusia 10 dan 34 tahun yang lengkap berpakaian tanpa sebarang dokumen pengenalan diri itu ditemukan dalam keadaan tertiarap dan terlentang berdekatan antara satu sama lain di dalam longkang kecil. Terdapat kesan kelar pada leher kedua-dua mangsa yang dipercayai dibunuh warga asing itu. Mayat mangsa kemudiannya telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata berdasarkan risikan pantas yang dilakukan oleh pihaknya telah membawa kepada penahanan seorang lelaki warga asing berumur 34 tahun yang merupakan suami dan bapa kepada kedua-dua mangsa yang dijumpai itu.

    Siti Nor Salawati berkata suspek ditahan di Masjid Bukit Pinang pada 9 malam tadi dan akan dibawa ke Mahkamah Alor Setar, hari ini untuk tujuan permohonan reman bagi meneruskan siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Beliau berkata polis meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes itu yang boleh mendatangkan kegusaran kepada masyarakat. – Bernama

    Dua mayat ditemukan di dalam longkang di belakang sebuah bangunan terbiar di Lebuhraya Sultan Abdul Halim malam kelmarin. Polis menahan seorang lelaki warga asing. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda